Zahid cadang anjur muzakarah kekang LGBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia kerana bertindak tegas dengan mengarahkan dibuat pengubahan (potongan) bagi adegan dan disenyapkan (mute) dialog yang didapati mengandungi elemen mempromosi gaya hidup golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dalam filem animasi “Lightyear”.

Kata Zahid, dalam dunia moden sekarang, gaya hidup dan pemikiran Barat yang melampau sedang giat dipromosikan pelbagai pihak.

Malah katanya, mereka semakin berani menghidangkan hiburan bagi tontonan kanak-kanak tetapi pada masa sama disertakan juga dengan elemen mempromosi gaya hidup luar tabii.

“Siapa sahaja anak-anak kecil kita yang tidak suka dengan animasi dan karater Buzz Lightyear? Malah orang dewasa pun ada yang suka.

“Namun, kebelakangan ini timbul kontroversi mengenai filem animasi “Lightyear” yang menunjukkan dialog yang mempunyai elemen mempromosi gaya hidup LGBT,” kata Zahid dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah, lebih merisaukan lagi, baru-baru ini, Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang mengizinkan perkahwinan sama jantina.

“Atas sebab itu, saban hari, para ibu bapa pula menjadi semakin resah dengan perubahan drastik teknologi semasa akan mengakibatkan pelbagai anasir ekstrem Barat mempengaruhi pemikiran anak-anak mereka, lebih-lebih lagi dukungan dan normalisasi secara terang-terangan gaya hidup LGBT.

“Pihak Kerajaan, dengan sokongan NGO-NGO Islam dan badan-badan pemikir Islam, guru-guru agama dan institusi dakwah yang lain seharusnya memandang serius perkembangan ini. Saya yakin semua agama tradisi lain juga menolak LGBT,” katanya.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mencadangkan agar dianjurkan satu muzakarah bagi mengumpulkan idea dan gerak kerja tersusun bagi membangunkan naratif balas atau “counter narrative” terhadap usaha-usaha mempromosi gaya hidup dan pemikiran ekstrim Barat, terutama sekali LGBT dalam kalangan masyarakat Islam.

Jelas Zahid, aspek ini perlulah dilakukan segera dan berterusan dan kita janganlah mengalah. Pada masa yang sama peranan ibu bapa agen sosialisasi penting bagi memberikan pendidikan dan kesedaran awal kepada anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam LGBT.

Terdahulu, pembatalan tayangan filem animasi ‘Lightyear’ di Malaysia adalah keputusan pihak pengedar filem iaitu The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn Bhd, menurut Lembaga Penapis Filem (LPF).

LPF dalam kenyataan menjelaskan filem tersebut telah diluluskan dengan arahan pengubahan yang sewajarnya, namun pengedar filem tidak bersetuju untuk mematuhi arahan berkenaan.

“LPF telah menonton tapis filem ‘Lightyear’ dan telah memberikan keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) berserta klasifikasi P13 pada 30 Mei lepas.

“LPF mengarahkan supaya dibuat pengubahan (potongan) bagi adegan dan disenyapkan (mute) dialog yang didapati mengandungi elemen mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang telah melanggar aspek utama di dalam Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat