KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga 18 Jun 2022 sejumlah 106,477 kes telah dilaporkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ia mencatatkan peningkatan sebanyak 39 kali ganda berbanding jumlah kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,710 kes.

Kata beliau, Jika dibandingkan dengan 31,500 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19), ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 kali ganda.

Manakala kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME 24/2022 (12 hingga 18 Jun 2022) adalah 10,556; menurun sebanyak 19.3 peratus berbanding ME 23/2022 (5 hingga 11 Jun 2022) iaitu 13,077 kes.

“Tren kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME22/2022 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME21/2022,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham memaklumkan, Negeri Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri- negeri lain iaitu 29,880 kes (28.1 peratus)”

“Ia diikuti oleh Wilayah PersekutuanKuala Lumpur dan Putrajaya 11,687 kes (11.0 peratus); Perak 10,938 kes (10.3 peratus); Johor 7,052 kes (6.6 peratus); dan Kelantan 6,532 kes (6.1 peratus).

“Kanak-kanak merupakan golongan yang paling banyak mengalami HFMD; iaitu 95,175 (89 peratus) adalah kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 9,183 kes (9 peratus),” katanya.

Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga (3) virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti pada tahun 2022, adalah Enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16). Dua (2) kes HFMD yang disahkan dijangkiti EV71 masih di bawah pemantauan rapi di Wad Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis), kata beliau.

“Sehingga kini, sebanyak 2,012 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu WPKL & Putrajaya 650 wabak (32.3 peratus) diikuti Sarawak 312 wabak (15.5 peratus) dan Selangor 252 wabak (12.5 peratus).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,131 wabak (56 peratus) diikuti oleh rumah persendirian 794 wabak (40 peratus) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 57 wabak (3 peratus).

“Wabak didefinisikan sebagai kejadian kes HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, KKM akan terus menjalankan langkah pencegahan dan kawalan bagi mengekang penularan jangkitan HFMD.

“Bagi tahun 2022, sehingga 11 Jun 2022, tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD yang telah dilaksanakan di seluruh Malaysia adalah seperti dalam
tadika, dan tabika serta guru di pra-sekolah dan sekolah,” ujarnya.

Justeru katanya, semua pihak diseru untuk terus bersama-sama mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.

“Ibu bapa atau penjaga dengan anak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat- tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

“Ibu bapa, pengusaha, pengasuh, dan guru dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepuh; pengasuh dan guru hendaklah melakukan saringan di pintu masuk premis bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

“Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya; ibu bapa, pengusaha, pengasuh, dan guru perlu memastikan premis termasuk permukaan yang kerap disentuh dan lantai rumah termasuk tandas serta peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak- kanak dibersihkan dan dibasmikuman setiap hari dengan menggunakan larutan campuran klorin; pastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup.

“Seterusnya melaporkan kes dan kluster HFMD yang berlaku di taska, tadika, tabika dan pra-sekolah kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.