MKN Setuju KDN Selaras Penguatkuasaan Terhadap Kilang Langgar SOP – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju tanggungjawab penguatkuasaan termasuk serbuan oleh semua agensi terhadap kilang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebelakangan ini, kerajaan menerima banyak aduan melibatkan sektor perkilangan yang didakwa menyalahgunakan surat kebenaran menjalankan operasi melibatkan perkhidmatan bukan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Menurutnya berdasarkan maklumat, terdapat kilang dikesan melanggar SOP apabila beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja, malah ada antara mereka yang memakai gelang kuarantin tetap diarahkan datang bekerja.

“Justeru, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang melanggar SOP dengan melakukan pemeriksaan dan serbuan. Kilang-kilang yang dikenal pasti ini akan dikenakan kompaun termasuk arahan menutup premis serta-merta,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Pada 17 Jun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata majikan sektor perkilangan akan dikompaun terus tanpa amaran jika melanggar SOP PKP mulai 18 Jun.

Hamzah berkata lebih 40 kilang di seluruh negara telah dikompaun sejak 1 Jun lepas kerana melanggar SOP PKP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju PKPD dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sarawak, Sabah, Melaka dan Perak bermula 23 Jun hingga 6 Julai ini setelah pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penilaian risiko.

Menurutnya, lokaliti di Sarawak melibatkan Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah di Bahagian Mukah, manakala Sabah membabitkan Blok 11 Kampung Titingan dan Batu 7, Jalan Tinagat, Tawau; Kampung Ejuk, Kota Belud dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu.

Di Melaka pula, PKPD dilaksanakan di Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara), Melaka Tengah, Melaka, sementara di Perak melibatkan Kilang Sawit Cahaya Muda (termasuk kuarters pekerja), Batang Padang, Perak.

“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan beberapa lokaliti di Sabah dan Perak ditamatkan pada 11.59 malam esok.

Penamatan PKPD di Sabah itu melibatkan Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah dan Taman Megah Jaya di Tawau, Kampung Narandang, Kudat dan Ladang FGV Kalabakan Selatan, Kalabakan, sementara di Perak pula membabitkan Politeknik Sultan Azlan Shah, Muallim dan Felda Trolak Utara, Sungkai.

Selain itu, Ismail Sabri juga berkata PKPD yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan beberapa lokaliti di Sabah dan Pahang ditamatkan pada 11.59 malam ini.

Di Sabah, kawasan terlibat ialah Kampung Bolong Baru dan Kampung Simpangan di Tuaran, manakala Pahang pula membabitkan Felda Tembangau 1 & 3 di Bera.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard PKP, beliau berkata seramai 825 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semalam, dan daripada jumlah itu, 810 dikompaun manakala 15 direman.

Katanya antara kesalahan yang dikesan ialah tiada penjarakan fizikal, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran selain makan di dalam premis menjual makanan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,547FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat