KUALA LUMPUR, 21 April – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menggesa satu penilaian menyeluruh dibuat terhadap peranan dan keberkesanan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan dakwaan badan itu gagal bertindak secara berkesan dalam menangani krisis tenaga semasa.
Dalam satu kenyataan media hari ini, AKAR berkata mereka sangat bimbang dengan cara PPPK mengendalikan krisis tenaga ketika ini kerana badan tersebut dilihat bukan sahaja gagal memainkan peranan secara berkesan, malah seolah-olah mengambil pendekatan pasif sehingga menghambat usaha Perdana Menteri dalam menangani krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Menurut AKAR, dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan, negara memerlukan tindakan fiskal yang pantas, terselaras dan berpaksikan realiti semasa.
Bagaimanapun, pertubuhan itu mendakwa PPPK tidak menunjukkan sebarang kesegeraan atau keberanian untuk mencadangkan pakej rangsangan fiskal yang benar-benar menyokong rakyat dan sektor perniagaan.
AKAR turut mendakwa pendekatan PPPK yang lembap dan tidak proaktif memberi gambaran seolah-olah wujud elemen “boikot senyap” terhadap usaha Perdana Menteri yang sejak awal telah menggerakkan pendekatan menyeluruh termasuk libat urus langsung dengan pemain industri, pimpinan negeri serta rakan serantau.
Katanya, ketika kepimpinan negara bergerak pantas dalam mod krisis, PPPK sebaliknya masih terperangkap dalam pendekatan birokratik yang tidak selari dengan keperluan mendesak di lapangan.
Menurut kenyataan itu lagi, kelewatan tersebut bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah berpotensi menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan untuk bertindak tegas dan bersepadu.
Sehubungan itu, AKAR menegaskan bahawa dalam situasi genting seperti sekarang, tiada ruang untuk sikap berkecuali atau pendekatan seperti biasa.
“PPPK seharusnya menjadi pemacu utama kepada penyelarasan dasar dan rangsangan fiskal, bukannya menjadi penghalang kepada momentum yang telah digerakkan di peringkat kepimpinan tertinggi,” menurut kenyataan itu.
AKAR berkata penstrukturan semula PPPK juga perlu dipertimbangkan sekiranya kegagalan berterusan badan tersebut tidak ditangani segera. – SuaraTV



