Ketibaan Vaksin Suntik Semangat Baru Lawan Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia kini menyertai komuniti global dalam perjuangan yang makin bertambah sengit menentang koronavirus, susulan ketibaan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang membuka langkah awal ke arah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Kumpulan pertama 312,390 dos vaksin yang ditunggu-tunggu tiba di Malaysia, melalui Singapura, pangkalan bagi pengagihan vaksin COVID-19 ke negara-negara Asia Pasifik, menerusi darat dan udara.

Penerbangan khas MH604, dengan pesawat tertera lambang Jalur Gemilang (bendera kebangsaan), membawa peranti muatan unit (ULD) vaksin mendarat pada pukul 10.07 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kira-kira 50km dari pusat bandar raya.

Sebahagian daripada kumpulan pertama vaksin itu diangkut dari Singapura ke Johor, tiba di Senai pada pukul 2.45 petang.

Di KLIA, ULD dimuatkan dari bahagian kargo pesawat ke dalam trak milik syarikat DHL di Pusat Kargo Termaju (ACC).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berada di KLIA semasa ketibaan vaksin dan sehingga ia dibawa ke tempat penyimpanan.

Kumpulan pertama vaksin dihantar menggunakan jalan udara dan darat ke 16 pusat penyimpanan DHL, enam daripadanya di Selangor, empat di Johor, tiga di Kuala Lumpur, dua di Pulau Pinang dan satu di Putrajaya.

Semua pergerakan vaksin dijalankan dengan pengawasan rapi oleh pasukan polis.

Rabu ini, dua hari sebelum jadual asal, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin, di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas mesyuarat kabinet di pejabat Perdana Menteri.

Dr Noor Hisham Abdullah juga akan menerima suntikan vaksin itu di tempat yang sama kemudiannya, diikuti dengan beberapa petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan. Vaksin Pfizer perlu disuntik dua kali dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Sehingga kini 571,802 petugas barisan hadapan telah mendaftar bagi program vaksinasi, dengan 57.3 peratus daripada mereka adalah petugas perubatan dan kesihatan, dan 42.7 peratus daripada lain-lain sektor seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kerajaan juga akan melibatkan beberapa guru, terutama mereka dengan masalah morbiditi, dan wartawan dalam fasa pertama daripada tiga fasa program imunisasi.

Vaksinasi adalah percuma bagi semua penduduk Malaysia, warganegara mahupun warga asing.

Fasa pertama imunisasi dijadual dari 26 Feb sehingga April, manakala fasa kedua dijadualkan dari April hingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga dari bulan Mei hingga Februari tahun depan pula adalah bagi kumpulan berumur 18 tahun ke atas.

Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti dan menyediakan kira-kira 600 pusat vaksin di seluruh negara, antaranya klinik-klinik kesihatan, di samping hospital kerajaan dan swasta, dengan setiap stesen terdapat tujuh pemvaksin.

Kecekapan dan kesiapsiagaan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan dalam memastikan penghantaran dan penerimaan lancar vaksin, telah membuatkan program imunisasi dapat dilancarkan lebih awal daripada jadual.

Vaksin Sinovac dijadualkan tiba pada 27 Feb, dan masih menunggu kelulusan NPRA, manakala vaksin AstraZeneca dijangka boleh didapati bulan depan.

Dengan ketibaan vaksin, perhatian kini tertumpu kepada pendaftaran vaksin bagi orang ramai yang dijadualkan bermua 1 Mac. Khairy berkata pendaftaran akan berterusan sehingga komuniti kelompok dicapai apabila 70 hingga 80 peratus penduduk diimun.

“Vaksin tidak selamatkan nyawa. Vaksinasi yang selamatkan nyawa. Kini ia telah sampai, kita perlu dapatkannya secepat mungkin. Inilah masanya untuk bertindak. #LindungDiriLindungSemua,” twit beliau.

Dr Noor Hisham kelihatan emosional semasa beliau berkata ketibaan vaksin itu umpama simbol kepada darah, keringat, air mata serta pengorbanan semua pihak.

“Satu sinar baharu, medan perjuangan baharu dan berbeza dengan strategi tambahan untuk memerangi virus, memberikan sinar harapan. Semoga Yang Maha Esa merahmati dan melindungi kita, berikan kita kekuatan dan ringankan beban. Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan tenaga kerja Kementerian Kesihatan, terhadap dedikasi serta ketabahan.

“Segenap lapisan masyarakat perlu tampil bersama dalam perjuangan menentang virus ini. Ia telah berlarutan sehingga lebih setahun yang amat menjerihkan. Ia menjejaskan kehidupan kita dalam mengharungi hari-hari yang amat mencabar.

“Bagaimana hendak dipendamkan emosi ini, apabila secebis sinar harapan sudah kelihatan muncul untuk menampakkan penyelesaian,” katanya, umpama menyuarakan emosi bagi pihak seluruh rakyat.

Majlis Keselamatan Negara pada masa yang sama terus sentiasa mengingatkan orang ramai, walaupun selepas ketibaan vaksin ini, bahawa vaksin terbaik adalah masih terletak pada amalan orang ramai, dengan menjadi lebih berdisiplin dan berterusan mematuhi prosedur operasi standard dalam norma baharu.

Seperti kata Dr Noor Hisham “tiada siapa yang selamat, selagi semua orang selamat”. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat