KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar kerajaan akan terus bekerja dan tidak akan sesekali meremehkan harapan rakyat yang menggunung.
Menurut beliau, dukungan rakyat akan sentiasa menyunting semangat untuk terus bersungguh mengejar kejayaan buat rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di tanah air lewat pagi tadi.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja dan tidak akan sesekali meremehkan harapan rakyat yang menggunung.
” Terima kasih kepada semua yang hadir di Kompleks Bunga Raya dan juga yang ramai bersama di tapak Petronas. Dukungan rakyat akan sentiasa menyunting semangat untuk terus bersungguh mengejar kejayaan buat rakyat dan negara,” ucap Perdana Menteri dalam hantaran di media sosial pada Rabu.
Berkongsi hasil lawatan kerja di luar negara, Anwar memaklumkan barisan delegasi dan beliau sendiri begitu teruja saat Malaysia diberi ruang di pelbagai platform antarabangsa di mana pendirian dan ketegasan negara berjaya dilontarkan dengan baik yang mencerminkan hasrat dan nurani rakyat.
Kata Menteri Kewangan itu, tentunya ekonomi dan peluang pelaburan yang menjadi keutamaan terutamanya sebagai usaha bagi melonjak negara dan tahap kesejahteraan rakyat ke tahap yang membanggakan.
“Sejumlah pertemuan bersama beberapa pemimpin dunia turut dimanfaatkan untuk mengangkat nasib warga Palestin yang terus dibedil rejim Israel yang ganas dan biadab.
“Semestinya usaha itu tidak terhenti disitu, malah Malaysia akan terus perhebatkan ngaumannya agar keadilan terpacul dan hak asasi manusia kembali dihormati terutamanya di bumi Palestin,” tegas Anwar.