KUALA LUMPUR – Allahyarham Tun Daim Zainuddin ‘terpaksa’ meninggal dunia terlebih dahulu untuk sumbangannya kepada negara dihargai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu melahirkan rasa terkilan dengan nasib yang menimpa sahabat baiknya yang juga bekas Menteri Kewangan itu.
“Daim meninggal dunia. Saya kehilangan seorang kawan.
“Sekarang orang ramai bercakap dan menulis tentang sumbangan Daim kepada negara. Ia menyedihkan. Beliau terpaksa meninggal dunia terlebih dahulu.
“Malah mereka yang Allahyarham Daim tunjuk ajar mengenai kewangan tidak menghargainya. Meninggal dunia terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut bekas Presiden Umno itu, Allahyarham Daim sudah kaya pada 1981 sewaktu dirinya menjadi Perdana Menteri ke-4.
“Beliau (Daim) sudah kaya pada tahun 1981, semasa saya menjadi Perdana Menteri.
“Bahkan Daim kehilangan wang membuat garam. Kemudian Daim menjana wang apabila membangunkan Maluri di atas tanah seluas 160 ekar.
“Bukan cuma itu, untuk menjadi menteri, seseorang itu perlu berhenti berniaga. Maka, apabila berhenti berniaga beliau tidak lagi menjana wang.
“Sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, saya dibayar RM8,000. Jadi sebagai menteri sudah tentu gajinya kurang. Jadi Daim sebagai Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 pasti telah kehilangan banyak wang,” jelas Dr Mahathir dalam catatannya itu.
Namun ada kepercayaan yang mendakwa kononnya Daim menjana wang hasil daripada menjawat jawatan menteri, kata Dr Mahathir lagi.
“Pun begitu, sebelum menjadi menteri Daim cuba merealisasikan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk mencipta orang kaya Malaysia mereka tidak boleh bermula dengan menjual tom yam atau pisang goreng di tepi jalan.
“Daim mahu orang Melayu bermula dari atas. Beliau memilih beberapa anak muda Melayu, mereka ini tidak mempunyai pengalaman perniagaan, tiada modal, tiada kemahiran pengurusan.
“Mula dari atas, Daim bagi projek kerajaan, kontrak, lesen dan lain-lain. Adakah ini salah guna kuasa? (Kerana) jika bukan kerajaan, siapa?
“Sektor swasta! Adakah orang kaya swasta akan memberikan kontrak kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak dikenali. Tidak boleh!
“Jadi jika tidak kerajaan tidak ada perniagaan besar Melayu untuk mencipta mereka yang sudah kaya. (Justeru) untuk berkembang daripada menjual tom yam dan pisang goreng menjadi jutawan ia akan mengambil masa bertahun-tahun,” ujar beliau.
Tambah Dr Mahathir lagi, DEB tidak akan tercapai dengan langkah itu, malah jurang perbezaan akan menjadi lebih besar.
“Tetapi kenapa orang yang Daim pilih. Kenapa tidak orang lain? Pilih orang lain, tuduhan yang sama. Adakah dia akan dipuji? Tidak.
“Tetapi ramai yang dia pilih, latih dan beri peluang gagal. Kita tidak mendengar tentang mereka. Mereka tidak dilabel sebagai kroni.
“Jadi, jika anda ingin mengelak daripada dituduh menyalahgunakan kuasa, buat semua yang anda pilih gagal dan apabila mereka gagal, DEB akan gagal, jurang akan meningkat.
“Sebenarnya inilah yang ingin dilihat oleh pengkritik Daim. Mereka suka melihat yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin miskin.
“Ya, DEB bukanlah satu kejayaan yang besar. Tetapi sekurang-kurangnya beberapa orang Melayu berjaya.
“Jika tidak, dengan tidak sama sekali, pertumbuhan miring akan menjadi lebih condong. Malaysia tidak akan stabil. Tidak akan menjadi seperti hari ini,” tegas bekas Perdana Menteri itu lagi.
Dr Mahathir juga berhujah, meskipun idea Daim tidak 100 peratus berjaya tetapi sekurang-kurangnya Allahyarham sudah membantu kemajuan negara dan tidak hanya memperkayakan diri sendiri sahaja.
“Ya, idea Daim tidak berjaya seperti yang dia jangkakan. Tetapi fikirkan, bagaimana jika Daim hanya menumpukan pada memperkayakan dirinya?
“Beliau mungkin akan bernilai RM50 bilion hari ini. Tetapi sudah tentu, dia akan diburu oleh orang yang sama, orang yang dia bantu,” kritik Dr Mahathir.