KUALA LUMPUR – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan tanggungjawab kerajaan untuk membayar pencen tetap tidak pernah berubah.
Jelas Tengku Zafrul, meskipun terkait dalam kes penipuan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery ia tidak memberi kesan besar terhadap kewangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Sekali gus katanya, ia tidak menjejaskan kemampuan KWAP untuk membantu kerajaan menanggung kos pencen penjawat awam.
Tengku Zafrul memaklumkan, keseluruhan dana KWAP pada 2025 adalah sebanyak RM195 bilion.
“Pada 2024 iaitu tahun terakhir KWAP diaudit, ia menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM18 bilion.
“Keseluruhan pelaburan eFishery kurang satu peratus daripada pendapatan pelaburan KWAP pada 2024, manakala pada 2025, keseluruhan pelaburan eFishery adalah kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan dana,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Isnin.
Hal demikian katanya, tanggungjawab kerajaan untuk membayar pencen tetap tidak pernah berubah.
“KWAP bukan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Penjawat awam tiada simpanan individu yang akan berkurang apabila satu pelaburan rugi.
“Jadi apa pun yang berlaku kepada eFishery, kerajaan tetap perlu membayar pencen awam seperti biasa,” jelas beliau.
Tengku Zafrul berkata, kerugian yang dialami oleh KWAP bukan RM200 juta, sebaliknya sebanyak RM163 juta.
Katanya, KWAP akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan sebanyak mungkin wang berkenaan.
“Wang RM163 juta tetap wang awam…Setiap sen yang boleh didapatkan semula mesti dikejar.
“Jika ada kecuaian, pihak yang bertanggungjawab mesti diambil tindakan. Kita tidak akan sembunyikan kegagalan tetapi jangan menipu rakyat, kononnya KWAP dah hampir bankrap dan pencen penjawat awam tidak dapat dibayar,” katanya.


