KUALA LUMPUR, 20 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang jurutera arahan kecerdasan buatan (AI Prompt Engineer) di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara menerusi program ‘1Prompt Engineer, 1NADI’.
Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr Mohd Arif Adenan berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan memperkukuh literasi digital masyarakat supaya tidak ketinggalan dalam menghadapi perkembangan pesat teknologi AI.
Menurut beliau, peserta akan mengikuti latihan intensif menggunakan modul khas yang diiktiraf Akademi MIMOS sebelum berperanan sebagai ejen perubahan bagi membimbing komuniti memanfaatkan teknologi AI secara selamat dan bertanggungjawab.
“Kalau komuniti mahu belajar mengenai AI, mereka tidak perlu lagi menghadiri kelas yang mahal kerana boleh mendapatkan bimbingan daripada jurutera arahan yang ditempatkan di setiap NADI,” katanya.
Beliau berkata, hasrat MCMC adalah untuk melahirkan bakat AI di kawasan luar bandar sekali gus membuka peluang kepada golongan muda bekerja secara jarak jauh tanpa perlu berhijrah ke bandar semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan.
Selain meningkatkan literasi AI, kewujudan jurutera arahan di setiap NADI juga dijangka membantu mengurangkan penyalahgunaan teknologi serta risiko penipuan dalam talian melalui pendedahan kepada penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab.
Mohd Arif berkata, program itu merupakan sebahagian daripada transformasi NADI 2.0 yang memperluaskan fungsi pusat berkenaan daripada sekadar menyediakan capaian Internet kepada hab pembangunan komuniti menerusi lima teras Perkhidmatan Pintar NADI.
Lima teras itu meliputi keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesihatan, kesedaran digital dan keselamatan siber serta penyebaran maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
Beliau berkata, sejak Perkhidmatan Pintar NADI diperkenalkan pada September 2024, lebih 21,000 ahli komuniti telah menyertai program keusahawanan yang membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan, pensijilan halal dan penambahbaikan pembungkusan produk.
Dalam bidang pendidikan pula, seramai 42,000 pelajar mengikuti Program Tuisyen Rakyat secara percuma, dengan 65 pelajar daripada keluarga B40 berjaya memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi perkhidmatan kesihatan, lebih 147,000 pemeriksaan kesihatan asas melibatkan tekanan darah, paras gula dan indeks jisim badan telah dilaksanakan di NADI di seluruh negara.
Mengulas pendekatan baharu NADI 2.0, beliau berkata konsep itu mengubah peranan NADI daripada berorientasikan premis kepada perkhidmatan yang bergerak terus ke lapangan.
Sebagai contoh, inisiatif NADI on Wheels yang dilengkapi teknologi satelit dan pelbagai peranti digital digerakkan ke kawasan pedalaman serta pusat pemindahan sementara ketika bencana bagi memastikan masyarakat terus mendapat akses Internet dan perkhidmatan digital.
Tambah beliau, MCMC turut memperluaskan akses kepada pelbagai kandungan pembelajaran, latihan keusahawanan dan modul digital melalui portal nadi.my.
Langkah itu melengkapkan usaha menjadikan NADI sebagai hab transformasi digital komuniti yang kekal relevan selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan rakyat.
a


