“Ada Tukang Cucuk, Tukang Kipas” – Asyraf Wajdi Kecam Budaya Politik Sate

BUKIT GANTANG, 20 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa ahli-ahli parti di semua peringkat untuk segera menghentikan amalan yang beliau sifatkan sebagai ‘politik sate’, sekiranya mahu UMNO kembali kuat dan mendapat semula sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut laporan Bernama, beliau menyifatkan budaya perpecahan yang diamalkan sesetengah pihak dalam parti sebagai antara punca utama kelemahan UMNO selama ini.

“Saya tekankan kepada perwakilan-perwakilan bahawa asas utamanya adalah kesatuan. Kena elak budaya politik nak mengapi-apikan, nak mewujudkan kabilah-kabilah dalam parti, nak mewujudkan persengketaan dalam kalangan pemimpin-pemimpinnya dan juga dalam kalangan anak-anak buah,” katanya.

Mengambil analogi sate sebagai gambaran situasi perpecahan dalaman, Asyraf berkata:

“Jadi ‘politik sate’ ini adalah analogi yang tepat kerana adanya tukang cucuk, adanya tukang kipas, adanya tukang bakar, adanya tukang balik ke sana, terbalik ke sini (mengadu domba di sana, sini), jadi ini semua kita kena hentikan.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Tambah beliau, UMNO juga perlu kembali kepada asas perjuangannya yang sebenar, iaitu mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air, dan apa-apa perkara yang menggugat fokus perjuangan tersebut wajar dihentikan.

“Apa-apa perkara yang boleh mengganggu dan menghilangkan fokus utama UMNO dalam perjuangan itu termasuk budaya ‘politik sate’ mestilah dihentikan,” katanya lagi

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat