Kerajaan Luluskan Pelan Induk Ekologi Kurangkan Konflik Manusia Dan Haiwan Liar

KUALA LUMPUR – Bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.

Kerajaan hari ini meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, dasar ini dijadikan sebagai panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40 pada hari ini.
Mesyuarat bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS).

“PIRECFS ini merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’,” jelas Perdana Menteri dalam kenyataan pada Rabu.

Ismail Sabri menegaskan, pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan (forest fragmentation).

“Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.

“Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan,” jelas beliau.

Perkara ini boleh dicapai melalui komitmen bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri, kata Ismail Sabri.

“MPFN Ke-40 turut mengambil maklum mengenai Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia.

“Kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar.

“Jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar. Bagaimanapun hanya 33 peratus atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24 peratus (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan,” kata beliau.

Dalam pada itu Perdana Menteri juga memaklumkan, mesyuarat meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam di seluruh negara.

“Sehubungan itu, semua kerajaan negeri, melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab di bawahnya diseru untuk mengambil langkah yang lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN).

“Pewartaan TLA ini akan memastikan ianya kekal terpelihara dan kekal berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni,” katanya.