KOTA KINABALU – Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik baiknya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri itu berkata sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan telah dibentuk bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

“Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan telah dibentuk dan dipengerusikan sendiri oleh saya selaku Perdana Menteri dan turut disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

“Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri-negeri lain,” katanya pada pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah, di sini, hari ini.

Kerajaan juga jelasnya sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah.

Katanya, dengan kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol, mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun.

“Pada masa sama, Kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

“Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya.

“Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan berita gembira bagi penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas.

Beliau berkata, mereka tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan yang kini didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan.

“Bagi memastikan “no wrong door policy”, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini,” katanya.

Berhubung dengan isu kenaikan harga tiket penerbangan dan masa penerbangan ditunda ketika musim perayaan pula, beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kerajaan sentiasa peka dengan keluh-kesah Keluarga Malaysia termasuklah isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tidak munasabah dan masa penerbangan ditunda ketika musim perayaan.

“Justeru, perbincangan akan diadakan dengan pihak-pihak terlibat supaya Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika 8 hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang,” katanya.