SEREMBAN, – Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dilihat memberi asas perundangan kepada Undang Yang Empat untuk memanggil Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berundur sementara atau turun takhta, sekali gus menambah dimensi baharu dalam polemik membabitkan krisis institusi adat negeri itu.
Semakan terhadap peruntukan berkenaan menunjukkan bahawa selepas “siasatan penuh dan lengkap” oleh Undang, Yang di-Pertuan Besar boleh dipanggil sama ada menarik diri daripada menjalankan tugas bagi tempoh tertentu, atau abdikasi serta melepaskan prerogatif, hak, kuasa dan keistimewaannya.

Perkara 10 itu antara lain menyebut bahawa tindakan sedemikian boleh diambil sekiranya Yang di-Pertuan Besar didapati mempunyai kecacatan besar dan serius yang menjejaskan sifat-sifat kelayakan baginda, mempunyai sifat yang tidak membolehkan baginda kekal menurut Hukum Syarak, melakukan perbuatan yang menjejaskan kesucian, kehormatan dan martabat jawatan, atau dengan sengaja mengingkari peruntukan Perlembagaan negeri.
Peruntukan itu sekali gus dilihat memberi jawapan kepada perdebatan sama ada Undang Yang Empat hanya mempunyai kuasa melantik Yang di-Pertuan Besar, atau turut mempunyai peranan dalam menamatkan kedudukan baginda dalam keadaan tertentu.
Jika Yang di-Pertuan Besar dipanggil menarik diri daripada menjalankan tugas, baginda akan terhenti daripada melaksanakan fungsi pemerintah bagi tempoh yang ditetapkan dan sepanjang tempoh itu seorang Pemangku Raja atau Majlis Pemangku Raja akan mengambil alih fungsi berkenaan.
Jika baginda pula dipanggil untuk abdikasi, Perkara 10 memperuntukkan bahawa baginda akan terhenti daripada menjadi Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, peruntukan sama turut mengandungi syarat penting iaitu tindakan itu mestilah dibuat selepas siasatan penuh dan lengkap oleh Undang, selain proklamasi rasmi mengenainya hendaklah dikeluarkan di bawah tandatangan Undang dan Menteri Besar.
Ini bermakna isu utama dalam perkembangan semasa bukan lagi semata-mata sama ada Undang mempunyai kuasa atau tidak, tetapi sama ada proses yang diambil benar-benar memenuhi kehendak Perkara 10, termasuk aspek siasatan, alasan yang dibenarkan dan keperluan proklamasi rasmi.
Perkembangan ini juga dilihat boleh melemahkan hujah bahawa Undang sama sekali tidak mempunyai kuasa terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar selepas pelantikan, kerana teks Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan jelas memperuntukkan ruang untuk Undang bertindak dalam keadaan tertentu.
Terdahulu, polemik tercetus selepas empat Undang Yang Empat mengadakan sidang media dan mengumumkan pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuat kuasa serta-merta.
Susulan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan kerajaan negeri tidak mengiktiraf tindakan berkenaan dan menyatakan individu yang membacakan pengisytiharan itu tidak lagi mempunyai kuasa sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Namun, dengan kemunculan semula Perkara 10 dalam perbahasan awam, tumpuan kini dijangka beralih kepada persoalan lebih besar, iaitu sama ada tindakan empat Undang itu sekadar kontroversi politik dan adat, atau sebenarnya mempunyai sandaran dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sendiri. –SuaraTV



