Oleh Zihan Zari
GOMBAK – Orang kena tuduh (OKT) warga Pakistan dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang meloloskan diri dari kawalan polis di Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu berjaya dicekup oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada jam 5 petang di KM 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama, dekat sini pada Sabtu.
Ketua Pengarah JIM, Dato ’ Zakaria Shaaban berkata tangkapan ini telah dilasanakan oleh, sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM.
Beliau berkata dari hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat perisikan daripada Kedutaan Pakistan, pasukan operasi telah melaksanakan gerakan mengesan dan menjejaki suspek di lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya.
“Setibanya di lokasi pasukan operasi berjaya mengesan suspek dan dari hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semasa kejadian, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya digagalkan oleh pasukan operasi. Siasatan awal seterusnya mendapati suspek mengaku telah melarikan diri ketika turun daripada trak polis, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya, sepanjang tempoh tujuh hari meloloskan diri, suspek mengaku bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan pada waktu siang, manakala menyelinap masuk ke dalam tapak pembinaan pada waktu malam untuk berlindung dan bermalam berikutan risiko keselamatan dan ancaman binatang buas.
“Selain itu, bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa, suspek memakai pakaian yang dicuri daripada kawasan pembinaan.
“Dari hasil semakan sistem JIM, suspek tiba di negara ini pada 11 Januari lalu melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta diberi kemudahan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.
“Proses temubual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan pada hari yang sama juga telah mengesahkan suspek merupakan warganegara Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis, turut terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen bagi tujuan tindakan lanjut,”katanya lagi.
Ujarnya, JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak melindungi atau menggaji Pendatang Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada,”tambahnya.
Tambahnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan PATI atau aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen diminta untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak jabatan. – SUARA.TV



