SEREMBAN, – Tiga ahli Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan hari ini secara terbuka menuduh Menteri Besar Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung dakwaan pemecatan Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Tiga anggota tersebut ialah Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan kenyataan Menteri Besar itu bukan sahaja tidak relevan, malah merupakan satu pembohongan kerana ahli-ahli DKU yang hadir pada Mesyuarat Khas DKU Bilangan 1/2026 pada 17 April lalu tidak pernah mencapai sebarang keputusan secara kolektif dan sebulat suara.
Mereka juga menegaskan menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar selaku Pengerusi DKU tidak mempunyai kuasa secara bersendirian untuk membuat keputusan atau mengeluarkan nasihat bagi pihak dewan.
Sehubungan itu, mereka mendakwa sebarang nasihat yang dijadikan asas kepada kenyataan Menteri Besar berhubung pemberhentian Mubarak adalah tidak teratur, bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak sah.
Ketiga-tiga mereka turut menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka YTM Dato’ Klana Petra yang didakwa dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selaras Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mereka turut mempersoalkan kehadiran ibu soko Klana Hulu dan waris Klana Hulu dalam sidang khas DKU pada 17 April lalu dengan mendakwa pihak yang hadir itu merupakan penyandang pesaka yang telah dihukum dan waris yang terhukum.
Menurut mereka pendengaran DKU pada hari tersebut adalah cacat dan salah, sekali gus melanggar Perjanjian antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan Undang Yang Empat bertarikh 16 Mei 1934 yang menurut mereka masih berkuat kuasa hingga hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan sebagai jawapan balas kepada kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 20 April 2026 berhubung isu pemecatan Undang Luak Sungei Ujong.
Dalam teks kenyataan tersebut, tiga ahli DKU berkenaan menegaskan mereka yang hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Bilangan 1/2026 pada 17 April lalu tidak pernah memberikan persetujuan secara kolektif terhadap tindakan berkenaan.
Malah, mereka menegaskan apa yang didakwa sebagai nasihat DKU kepada kerajaan negeri tidak pernah diputuskan secara kebulatan suara, sekali gus membuka pertikaian terbuka terhadap kesahan proses yang digunakan untuk menyokong pemberhentian Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong. – SuaraTV



