GEG: Kerajaan bukan dipengaruhi pelobi industri tapi itu pendirian Peguam Negara – Dr Dzulkefly

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Kabinet tidak dipengaruhi wakil industri dan pelobi berhubung penggubalan dan pelaksanaan dasar berkaitan generasi penamat rokok (GEG).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebaliknya ketetapan itu dibuat terkait dengan pendirian dan pandangan Peguam Negara.

Katanya, diakui ada wakil industri dan pelobi datang untuk membuat pertemuan dengan Ahli Parlimen berhubung isu itu dan perkara itu tidak menjadi kesalahan dalam sistem demokrasi.

“(Namun) saya kira adalah agak tidak wajar melanjutkan pengaruh (anggapan) itu bahawa wakil industri dan pelobi mempengaruhi kerajaan dan juga Kabinet.

“Itu saya kira adalah salah, salah pada fakta dan salah (anggapan) pada ucapan Timbalan Menteri kerana saya semak perkara itu,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai keputusan mengubah pembentangan GEG.

Katanya, keputusan untuk tidak membawa GEG bersama Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah disebabkan isu perlembagaan yang menjadi besar.

“Itulah sebabnya kerajaan mengambil sikap untuk tidak membawa GEG, bersekali dalam Akta 852.

“Hanya itu dan tidak ada kena mengena dengan pelobi atau apa pun yang dianggap atau kita anggap dengan persepsi di luar sana,” lapor BH.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni mendedahkan tindakan melobi oleh wakil industri tembakau dan vape banyak mempengaruhi pengguguran peruntukan GEG daripada undang-undang untuk mengawal merokok.

Menurut Lukanisman, pelobi bertemu secara langsung dengan Ahli Parlimen sebelum perbahasan rang undang-undang itu, mempengaruhi pandangan mereka terhadap langkah GEG yang bertujuan untuk mewujudkan generasi masa depan yang bebas rokok.

Menjawab soalan Syed Saddiq berhubung pelan bagi mengawal selia industri vape dan melarang bahan-bahan terlarang seperti nikotin, tembakau, tampalan dan gula-gula getah yang dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Dr Dzulkefly berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah membuat kawal selia terhadap industri vape atau cecair rokok elektronik melalui Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari 2024.

Katanya, Seksyen 7 dan 9 dalam Akta 852 memperuntukkan larangan terhadap pengiklanan, promosi dan tajaan sebarang produk merokok termasuk vape atau cecair rokok elektronik.

“Kawalan terperinci meliputi kawalan berkaitan pendaftaran, kawalan penjualan dan pembungkusan dirangka di bawah peraturan yang dijangka akan dikuatkuasakan serentak dengan akta ini.

“Sebarang sediaan yang mengandungi nikotin masih dikawal di bawah Jadual Pertama, Akta Racun 1952 [Akta 366]. Pengecualian hanya dibuat terhadap sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik,” katanya.

Katanya, susulan pengecualian itu, semua sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok akan dikawal di bawah Akta 852 dan peraturan-peraturan yang akan dibuat di bawahnya.

“Pengecualian nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 juga dibuat bagi produk terapi gantian nikotin dalam bentuk tampalan dan gula-gula getah yang digunakan untuk rawatan berhenti merokok.

“Bagaimanapun, produk ini masih dikawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) serta didaftarkan sebagai ubat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat