KUALA LUMPUR – Bintang Hollywood, Will Smith mendedahkan beliau membaca keseluruhan ayat suci al-Quran sepanjang bulan Ramadan dan mengakui kagum dengan kesederhanaan kitab suci orang Islam itu menjelaskan kronologi asal-usul kejadian dan kewujudan agama-agama.
Aktor hebat itu berkongsi kehebatan al-Quran yang dibacanya dalam podcast bersama wartawan, Amr Adeeb “Big Time Podcast”.
Wiil Smith menyatakan bahawa sepanjang dua tahun terakhir ini, dia menghadapi pelbagai cabaran yang menyebabkan dia memikirkan isu berkaitan agama.
Dalam tempoh sukar itu, Will Smith memberitahu dia membaca semua buku agama, termasuk al-Quran.
“Saya sangat menyukai kesederhanaan ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran, ia menceritakan dengan jelas. Ini sekali gus menjawab semua kesalahfahaman saya selama ini.
“Semangat al-Quran itu sendiri sangat indah dan jelas, saya bacanya dari kulit ke kulit. Saya terkejut rupanya ia satu cerita bermula dari kitab Taurat, Injil dan al-Quran.
“Saya sebelum itu tak betul-betul faham, ternyata Nabi Ibrahim adalah ayah kepada susur salasilah agama-agama yang wujud. Al-Quran menceritakannya dengan lengkap dan saya bacanya pada bulan Ramadan,” kongsinya.
Menurut Will Smith lagi, pada usia 55 tahun kini adalah peluang untuknya mempersoalkan separuh pertama hidupnya.
“Ini adalah fasa hidup saya mencari kebenaran dengan hati yang terbuka.
“Pada usia 55 tahun adalah peluang untuk saya mempersoalkan apa yang saya dah buat pada separuh masa pertama hidup saya.
“Ini adalah peluang untuk saya fikir pula apa yang akan saya buat pada usia pada separuh masa kedua,” ujarnya.
Ketika ditanya apa yang dia dapat daripada pembacaan al-Quran itu, Will Smith berkata dia terkejut dengan betapa banyak kalinya nama Nabi Musa disebut dalam al-Quran, menunjukkan bahawa kehidupan dan pengalamannya telah banyak mempengaruhi aktor itu.