BNM laksana tindakan kolektif lindungi ringgit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Walaupun ringgit dijangka oleh pasaran bahawa ia akan mencatatkan paras RM4.5915 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2024, namun tindakan secara kolektif amat diperlukan untuk melindungi mata wang tempatan ini.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jangkaan pasaran (telah) berubah apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS memberikan isyarat bahawa pengurangan kadar faedah mungkin dilaksanakan pada 2024 berikutan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan, dengan nilai ringgit mencatatkan paras RM4.5915 pada hujung tahun.

BNM berkata demikian dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Pada 19 Mac 2024, ringgit tutup pada 4.7350/7390 berbanding dolar AS daripada 4.7165/7195 yang ditutup pada hari sebelumnya.

Sementara itu, Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat komited untuk memainkan peranannya dalam usaha mengekalkan keyakinan terhadap ringgit.

“Bagi mencapai tujuan ini, BNM telah bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan aliran masuk yang akan membolehkan nilai ringgit mencerminkan asas dan prospek ekonomi Malaysia dengan sewajarnya.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah digalakkan untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkannya kepada ringgit secara konsisten,” katanya dalam prakata laporan tersebut, lapor Bernama.

Selanjutnya, Abdul Rasheed berkata BNM telah mempertingkatkan libat urus dengan pengeksport dan pelabur antarabangsa untuk terus menggalakkan penukaran mata wang dan menekankan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“Pada masa yang sama, BNM kekal komited untuk mengekalkan keadaan pasaran kewangan domestik yang teratur menerusi operasi mudah tunai dan pertukaran asing, sambil terus mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kecekapan, mudah tunai dan kebolehcapaian pasaran,” katanya.

Abdul Rasheed juga berkata bank pusat akan terus menyediakan persekitaran yang menggalakkan pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

“Fleksibiliti lindung nilai dinamik terus tersedia untuk pelabur, lalu membolehkan mereka mengambil kedudukan dan pada masa yang sama melindungi pelaburan mereka,” katanya.

Selain daripada GLC dan GLIC, beliau berkata sektor swasta juga perlu memainkan peranannya. Abdul Rasheed berkata menerusi tumpuan yang dipertingkatkan terhadap pelaburan domestik, sektor korporat Malaysia mampu menjadi sebahagian daripada usaha negara ke arah bidang pertumbuhan transformasi utama, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi dan dipacu inovasi.

“Kita juga memerlukan perniagaan untuk melabur dan meningkatkan kemahiran dan inovasi, sambil mengikuti trend global seperti penekanan yang semakin meningkat terhadap kelestarian, yang dijangka akan memberikan kesan terhadap rantaian pengeluaran global, perdagangan dan pelaburan, serta teknologi,” katanya.

Menurutnya, jika Malaysia melaksanakan usaha ini dengan betul, sebagai sebuah negara, Malaysia akan berupaya meningkatkan produktiviti dan memperkukuh asas-asas ekonomi.

“Kemudiannya, kita akan mampu mencapai kekukuhan yang lebih berterusan dalam ringgit serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih kukuh dan lebih berdaya saing,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat