KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen (JHKP) mengesahkan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengenai pihak tertentu cuba menyogok beliau untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berasas dan tidak mengelirukan Dewan Rakyat.
Keputusan tersebut dibuat oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dalam bermesyuarat pada 6 dan 10 September lalu.
Jawatankuasa turut mengesyorkan supaya Ahli Parlimen Tasek Gelugor membuat laporan rasmi berhubung perkara ini kepada badan penguat kuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang memiliki kuasa serta sumber lebih wajar untuk menyiasat.
Pada Jun lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk membawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor kepada JHKP.
Usul tersebut dikemukakanselepas beliau didakwa membuat kenyataan yang mengelirukan dewan pada 21 Mac lalu.
Pada 21 Mac lalu Wan Jan hari ini mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau dihubungi oleh beberapa individu yang menggugutnya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, selepas berkali-kali dihubungi, beliau ‘akur’ untuk mengadakan pertemuan, bermula pada 17 Januari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang, ibu negara.
Dakwa beliau, dalam beberapa siri pertemuan tersebut, individu berkenaan menawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta dan menawarkan untuk ‘membatalkan’ pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.
Sementara itu semalam Wan Saiful Wan Jan menceritakan kisah perbicaraan beliau yang dipanggil memberi keterangan di hadapan JKHP pada 6 Sept lalu dan sesi tersebut berlangsung selama hampir 2 jam 30 minit.
Menurut Wan Saiful, belia telah dia membentangkan kronologi mengenai apa yang berlaku.
“Sebagai bukti, saya turut memainkan rakaman audio dan tunjukkan gambar serta tangkap layar mesej WhatsApp.
“Saya juga berkongsi identiti individu-individu yang menemui saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful lagi, semua bukti yang dibawanya di hadapan jawatankuasa terbabit menunjukkan memang ada pihak yang bertemu dengannya dan memberikan tawaran berkaitan.
“Saya bercakap benar. Saya tidak akan sama sekali (mengkhianati) perjuangan walau ditekan dan diancam dengan pelbagai tindakan oleh mereka yang zalim, atau cuba dirasuah dengan pelbagai habuan,” katanya lagi.
Wan Saiful juga berkata, rakyat perlu menilai pihak yang didakwanya menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk membeli sokongan.
“Cuma saya terkilan kerana jawatankuasa tidak mengeluarkan hansard penuh ucapan saya selama hampir 2 jam 30 minit dalam prosiding berkenaan.