Najib Terharu Keikhlasan Pakcik Ini Berdoa Untuk Allahyarhamah Tun Rahah

- Advertisement -

CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi status di Facebook beliau hari ini meluahkan rasa terharu atas keikhlasan seorang individu yang menghadiahkan doa untuk bondanya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Gambar seorang individu berdiri dan seorang lagi sedang duduk sambil menadah tangan berdoa di luar pagar Masjid Negara itu mulanya dimuat naik di Facebook Mahadi Mahbol sebelum dikongsikan semula di Facebook Najib.

“Dari sudut kejauhan ada yang menadah tangan merafakkan doa kepada Allah agar Allahyarhamah Tun Rahah ditempatkan di dalam syurga,” tulis Mahadi di Facebooknya.

Bekas Perdana Menteri ke-6 itu dalam reaksinya mengakui tersentuh hati dengan keikhlasan individu itu dan berharap berpeluang berjumpa dengannya kelak.

“Amat menyentuh hati saya melihat ini. Saya tidak kenal saudara tetapi saya berharap dapat bertemu satu hari nanti.

“Terima kasih atas doa untuk Allahyarhamah bonda. Semoga pakcik sentiasa di bawah rahmat Allah SWT,” kata Najib.

Status Najib itu sehingga kini merekodkan 74,000 tanda suka dan lebih 2,100 komen netizen yang turut terharu dengan keikhlasan individu berkenaan mendoakan kesejahteraan untuk Allahyarhamah Tun Rahah.

Sementara itu, semakan SuaraTV di ruangan komen status Facebook Najib itu mendapati seorang netizen, Azman Hassan menjelaskan pakcik itu datang berjalan kaki dari Kampung Baru ke Masjid Negara dan pernah bekerja di rumah Allahyarhamah Tun Rahah.

“Saya jumpa dia tadi DS (Datuk Seri Najib).. Dia kata dia pernah kerja sebagai tukang kebun di rumah Tun Rahah..

“Tun Rahah pernah biaya dia punya kos perubatan suatu ketika dulu. Dia nak balas memang tak mampu dan sepanjang bacaan talkim, pakcik tadah tangan panjat doa.. Sekarang kerja di kedai makan dekat Kampung Baru.

“Lama saya sembang dgn dia tadi..dia asal Ajil, Terengganu… Dia kata dia tak layak utk masuk ke dalam masjid sebab dia tahu siapa dia..

“Sedih pulak dengar..bagus nya pakcik ni bila saya nak bagi sedikit wang dia tolak denga baik. Dia cakap dia masih mampu .. Satu lagi, dia datang ke Masjid Negara tadi dengan jalan kaki dari Kampung Baru,” katanya.

Dalam status terbaru sebentar tadi, Najib turut meluahkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia serta pemimpin yang menziarahi dan berdoa untuk Allahyarhamah ibunya.

“Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin negara dan rakyat Malaysia sekalian atas ucapan takziah kepada kami dan doa untuk Allahyarhamah bonda yang tercinta, sama ada melalui media sosial ataupun di Istiadat Penghormatan dan Pengebumian Negara.

“Maafkan kami jika tidak dapat membalas setiap satu ucapan yang disampaikan. Allahyarhamah bonda disayangi dan dihormati ramai. Al-Fatihah,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah selamat dikebumikan kira-kira jam 3.10 petang tadi di Makam Pahlawan, Masjid Negara dalam suasana awan mendung dan hujan renyai-renyai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat