CYBERJAYA – Puluhan ribu pengguna media sosial (netizen) membanjiri laman Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini untuk mengucapkan takziah dan mendoakan kesejahteraan roh ibu beliau, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang meninggal dunia petang tadi.
Dalam tempoh kira-kira empat jam selepas Najib memuat naik status memaklumkan berita tersebut, lebih 82 ribu komen direkodkan dengan kebanyakan netizen yang bersimpati itu turut berharap beliau tabah menghadapi dugaan kehilangan ibu tercinta.
“Salam takziah Dato Sri Najib Razak. Semoga DSN dan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan kehilangan bonda tercinta. Allah tempatkan roh Allahyarhamah ditempat yang lebih baik. Al Fatihah,” kata salah seorang netizen, Muhammad Zharif.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Salam takziah pada Dato’ Sri dan keluarga.
“Turut berduka cita yang sedalam-dalamnya. Semoga bonda Dato’ Sri diterima segala amal ibadahnya oleh Allah, ditempatkan bersama org org yg beriman. Dan semoga keluarga yang ditinggal diberikan ketabahan dan kekuatan iman lahir batin… Al-Fatihah,” komen Sofea AL.
Turut kelihatan di ruangan komen status Najib itu ialah ucapan takziah daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Sedih mendengar berita pemergian Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Haji Mohamed Noah.
“Takziah saya ucapkan kepada YB dan ahli keluarga, moga Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin,” ucap Tengku Zafrul.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan kerajaan mengambil keputusan memberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.
Perdana Menteri berkata, jenazah Allahyarhamad Tun Rahah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara esok.
“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menzahirkan takziah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh ahli keluarga atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarhamah Tun Rahah hari ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Tun Rahah dan menempatkan beliau bersama-sama golongan yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.