KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengkritik Kementerian Pertahanan (Mindef) kerana menghalang usaha mentransformasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan menghentikan rancangan penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd tahun lalu.
Susulan laporan Parlimen, PAC dalam kenyataan media pada Selasa mendedahkan keputusan Mindef menghentikan penstrukturan semula Boustead Holdings iaitu satu inisiatif utama di bawah Pelan Strategik LTAT 2023-2025 telah menghalang transformasi yang diperlukan LTAT.
“PAC berpendapat bahawa pelan penstrukturan semula Boustead Holdings yang dilancarkan pada Julai 2023 sebagai inisiatif utama dalam Pelan
Strategik LTAT 2023-2025 adalah satu pelan yang praktikal.
“Pelan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan LTAT kepada Boustead Holdings malah akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset-aset yang
berkualiti lain.
“Pelan tersebut turut telah melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan di setiap peringkat di LTAT dan MINDEF ketika itu serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak LTAT.
“Justeru, PAC berpandangan bahawa keputusan MINDEF pada masa ini untuk menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah mula dilaksanakan di bawah pengurusan LTAT terdahulu telah membantutkan perjalanan transformasi LTAT yang perlu dilaksanakan dengan segera, secara menyeluruh dan tuntas.
“Selain itu, berdasarkan keterangan Menteri Pertahanan sendiri semasa prosiding, keputusan penangguhan dan arahan untuk merangka semula
pelan penstrukturan semula Boustead Holdings dibuat setelah hanya mendapat pandangan daripada pengurusan Boustead Holdings, dan bukan daripada pengurusan LTAT,” kata PAC.
Tegas PAC, LTAT sebagai pemilik 100 peratus Boustead Holdings perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan dan objektif LTAT, bukan sebaliknya.
“Struktur syarikat Boustead Holdings sebagai syarikat pengantara antara LTAT dengan syarikat-syarikat yang menjana keuntungan perlu dirombak
semula dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang telah berlaku di bawah pengawasan Boustead.
“Penstrukturan semula Boustead Holdings bagi membolehkan LTAT menjadi pemilik terus anak-anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai industri bukan perkara baru.
“Penstrukturan yang sama sudah dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini ke atas syarikat Sime Darby Berhad (SDB), yang menghasilkan pemilikan terus PNB ke atas anak-anak syarikat SDB yang terlibat dalam sektor perladangan, hartanah dan industri,” kata PAC.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga menyatakan, pada masa sama, PAC memandang serius penjualan tanah milik Boustead
Holdings yang dilaporkan oleh media.
Katanya, terkini, dilaporkan bahawa EcoWorld telah membeli tanah seluas 342.87 hektar di koridor Semenyih dengan nilai RM742.4 juta daripada Boustead Holdings.
Ujarnya lagi, sebelum itu, media turut melaporkan bahawa tanah milik Boustead Holdings seluas 485.6 hektar dengan anggaran nilai RM400 juta turut dalam proses penjualan.
“Penjualan -penjualan ini memberikan persepsi bahawa wang hasil jualan berkenaan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum LTAT.
“Sehubungan itu, sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan tiga (3) perkara untuk dilaksanakan seperti; LTAT seharusnya membuat pembayaran dividen berlandaskan kepada keuntungan sebenar (realised gain) dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti yang dilakukan pada tahun 2021 dan 2022.
“Selain itu, LTAT seharusnya meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti
sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum; dan Mindef dan LTAT perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan hala tuju LTAT sebelum akhir tahun 2024.
“Bukan cuma itu, PAC meminta supaya Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan pengauditan terperinci terhadap Boustead daripada segi kewangan dan tata kelola Boustead pada tahun hadapan selaras dengan kuasa baharu yang diberikan di bawah Akta Audit (Pindaan) 2024 [Akta A1720],” syor Mas Ermieyati.
Justeru katanya, PAC memberikan tempoh selama 2 bulan kepada Mindef dan LTAT sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi
membolehkan Jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.
Sehubungan itu, berhubung isu rizab LTAT yang berbaki negatif, PAC mengambil maklum penjelasan mengenai tiga komponen rizab LTAT yang merangkumi Rizab Pendapatan Komprehensif Lain, iaitu portfolio pelaburan saham LTAT; Dana Rizab dan Keuntungan Tertahan Terkumpul.
Kata Mas Ermieyati lagi, walaupun kedudukan Rizab Pendapatan Komprehensif Lain berbaki negatif disumbang oleh pegangan saham legasi, LTAT perlu mengambil tindakan untuk memastikan semua komponen ini berada dalam kedudukan positif.
“PAC juga mengambil maklum strategi yang telah dirangka LTAT bagi memperbaiki kedudukan portfolio pelaburannya. Strategi yang tertumpu
kepada peningkatan keuntungan terkumpul bagi membolehkan LTAT mengurangkan kedudukan negatif secara beransur-ansur perlu diteruskan.
“Ini termasuk penyusunan semula pendedahan pelaburan LTAT kepada syarikat tunggal Boustead Holdings yang akan membantu LTAT meningkatkan keuntungan terkumpul dan menaikkan nilai aset pelaburan, sekali gus memperbaiki kedudukan rizab LTAT,” kata beliau.
Perkembangan lain, menyentuh isu pendedahan pelaburan LTAT kepada Boustead Holdings, PAC ingin menarik perhatian kepada kedudukan Boustead Holdings di mana LTAT dilihat terlalu bergantung pada pendapatan dan prestasi syarikat sekali gus menyebabkan pendedahan LTAT yang berlebihan kepada syarikat ini.
“Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan segera oleh semua pihak berkepentingan terutamanya pihak Mindef dan LTAT.
“Aliran tunai yang kritikal dan pebagai krisis kewangan yang melanda Boustead Holdings dan anak-anak syarikatnya meningkatkan risiko penyusutan nilai (impairment risk) yang melibatkan sehingga 50 peratus daripada nilai tabung, iaitu hampir RM5 bilion dana tabung persaraan yang diuruskan oleh LTAT.
“Penyusutan nilai ini akan tidak hanya menyebabkan LTAT tidak berkemampuan untuk membayar dividen kepada pencarum namun, boleh menyebabkan LTAT kehilangan serta kerugian dana RM5 bilion tersebut.
“Di dalam prosiding tindakan susulan tersebut, PAC turut meminta supaya LTAT membentangkan Pelan Strategik LTAT khususnya untuk memastikan
daya tahan dan kelangsungan serta kelestarian LTAT.
“Orang ramai boleh membaca setiap keterangan dan penemuan laporan ini dengan melayari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya.
Bagi isu ini, PAC telah mengadakan empat prosiding, dua pada 20 Jun 2024 dan dua (2) pada 7 Ogos 2024 dengan memanggil Ketua Audit Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha (KSU) Mindef dan Ketua Eksekutif LTAT selain bekas Pengerusi, bekas Ketua Eksekutif dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT yang telah meletakkan jawatan masing-masing pada 8 Februari 2024, 31 Januari 2024 dan 16 Februari 2024.