Pas didakwa hantar wakil jumpa Anwar, Zahid diam-diam, Bersatu tak tahu – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pas didakwa mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa diketahui kepimpinan Parti Bersatu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa sikap itu menunjukkan wajah sebenar Pas yang sanggup menukar rakan kerjasama politik demi kelangsungan politiknya.

“Dalam diam-diam kita pun tahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah beritahu kita Pas hantar wakil jumpa beliau, Pas hantar wakil jumpa Datuk Seri Zahid tanpa diketahui pimpinan Bersatu

“Saya tahu siapa jumpa, sebab orang sama buat pada kami dahulu,” katanya dalam podcast Lebih Masa kelolaan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan pengacara Nani Roslan, menurut Utusan pada Jumaat.

Nik Nazmi kemudian membalas, Pas pernah melakukan sikap sama ketika bersama sewaktu dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Asyraf Wajdi, selain itu Pas pernah menafikan untuk terlibat dalam Perikatan Nasional (PN) ketika parti itu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) meskipun ia terjadi sebaliknya.

“Kita pernah tanya Pas dalam mesyuarat MN, benarkan Pas ada kerjasama (dengan PN)? Saya ingat Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) ada cakap ‘sudah-sudahlah Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi), mesyuarat lepas kita dah buat penjelasan bahawa tidak melibatkan diri dalam PN’.

“Tetapi apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bubar sahaja DUN, Pas buat pengisytiharan kami menyertai PN sebab Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dia boleh tikam belakang kita. Tetapi pokoknya Umno tidak pernah mengkhianati sesiapa, perkara ini merupakan sejarah kita Umno bahawa tiada mengkhianati kawan-kawan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Presiden Umno sendiri mengakui ada pemimpin Pas yang datang untuk berunding, tetapi ditolak kerana parti itu lebih mementingkan soal kestabilan negara dan rakyat.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, ketika Langkah Sheraton, Pas dan Umno dalam mesyuarat MN bersetuju membentuk kerajaan dengan Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan sahaja selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan lebih baik membentuk kerajaan sementara, berbanding cadangan Umno yang mendesak untuk pembubaran Parlimen.

“Peringkat awal keputusan kita, kita tak mahu tubuhkan Kerajaan, kita nak pilihan raya. Sebab waktu itu (Datuk Seri) Najib kuat, tegas, dia kata no government will survive if it comes from backdoor. So, itu prinsip dia.

“Tetapi waktu tu Tuanku (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) titah tak boleh kata ada pilihan raya, Tuanku Sultan Pahang waktu tu Yang di-Pertuan Agong, ada mesyuarat Majlis Raja-raja, waktu itu kita keliru sikit boleh atau tidak Tuanku bubarkan parlimen kerana Perdana Menteri dah tak ada. Siapa nak beri nasihat?

“Lepas tu Covid-19 melanda, dan Tuanku kemudian minta kompromi. Sebab itu dalam mesyuarat penting di Tingkat 39 (Menara Dato Onn) akhirnya, saya ingat Hadi bangun dan beritahu ‘macam inilah Umno tak pernah berhadapan dengan pilihan raya sebagai pembangkang. Kami dah pernah.

“Lebih baik kita masuk sekejap dalam Kerajaan, dan kita bubar, daripada kita jadi pembangkang’. Dan Itu mengubah pandangan semua kecuali Najib,” katanya.

Katanya, Umno dan Pas akhirnya bersetuju untuk menyertai Kerajaan pimpinan Muhyiddin hanya untuk tempoh enam bulan dan memberi laluan kepada belanjawan dahulu, tetapi akhirnya ia tidak kesampaian.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat