KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan penghujung September ini harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar.
Beliau memuji dedikasi dan kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpegang kepada janji yakni menurunkan harga minyak.
“Alhamdulillah Perdana Menteri bakal tunaikan janji kepada rakyat Malaysia, Insya-Allah hujung bulan ini harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar.
“Walaupun ambil masa sikit, tapi alhamdulillah beliau tetap tunaikan janji sebab Insya-Allah beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. A man of his words dan Insya-Allah, setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia,” ungkap Saifuddin dalam hantaran sosial medianya pada Jumaat.
Selaras dengan pelaksanaan Kerajaan Madani itu, Saifuddin meminta rakyat memeriksa cip MyKad berfungsi.
“Tapi ada satu perkara penting rakyat Malaysia kena buat segera iaitu periksa MyKad anda pastikan cip MyKad berfungsi dan elok.
“Hal ini kerana subsidi bersasar ni hanya boleh dinikmati bila MyKad digunakan sebagai pengesahan identiti semasa isi minyak nanti.
“Kalau cip rosak atau tak boleh dibaca, jangan risau boleh terus ke mana-mana Pejabat atau Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-Allah, siap hari yang sama. Mudah dan cepat.
“Jangan tunggu saat akhir buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini,” ujar beliau lagi.
Menurut Saifuddin, Kerajaan Madani terus komited untuk bantu rakyat, jaga kebajikan semua golongan dan makmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.



