Terrirudin tahu mengenai Titah Addendum dan berusaha menghalangnya, dakwa Shafee

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu walaupun mengetahui kewujudan Titah Addendum secara langsung, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh didakwa memilih dengan sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak berhujah bahawa bekas Peguam Negara itu sebaliknya membantah kebenaran semakan kehakiman difailkan pihaknya, atas alasan afidavit sokongan berhubung kewujudan titah terbabit bersifat spekulatif dan berdasarkan keterangan dengar cakap.

“Kami menyatakan terdapat bukti amat kukuh bahawa beliau mengetahui mengenai Titah Addendum itu.

“Titah Addendum berkenaan secara jelas dialamatkan kepada Ahmad Terrirudin dengan menyebut nama serta jawatan rasminya sebagai Peguam Negara (ketika itu).

“Beliau mengetahui mengenai titah itu dan berusaha menghalangnya. Tanggungjawab untuk berlaku jujur terpakai dengan lebih ketat terhadap Ahmad Terrirudin berbanding orang lain,” katanya memetik BH pada Selasa.

Dalam pada itu, Shafee memaklumkan bahawa Peguam Negara kini, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengakui kewujudan Titah Addendum pada prosiding rayuan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

“Jika anda melihat keseluruhan fakta, bukankah ini satu campur tangan terhadap keadilan? Bukankah kebenaran sepatutnya terus diberikan sebaik saja Titah Addendum itu diakui?” katanya.

Beliau mendakwa bahawa tindakan menghina mahkamah oleh Ahmad Terrirudin bermula seawal atau sebelum 3 April 2024 , apabila mengarahkan peguam persekutuan (SFC) untuk membantah semakan kehakiman yang difailkan bekas Perdana Menteri itu.

“Dengan itu, (tindakan) ini membayangkan bahawa Titah Addendum tidak wujud walaupun mengetahui bahawa ia adalah satu representasi yang nyata palsu untuk dikemukakan kepada mahkamah.

“Pada 4 April 2024, iaitu tarikh pendengaran permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, responden telah mengarahkan melalui SFC untuk membantah secara lisan terhadap permohonan kebenaran itu,” katanya.

Beliau menegaskan Ahmad Terrirudin selaku Peguam Negara ketika itu, mempunyai kedua-dua kuasa dan akses yang diperlu untuk mengesahkan dokumen berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tambahan pula, katanya, titah itu sendiri mengesahkan bahawa Ahmad Terrirudin sudah menerima dokumen asal, sekali gus meletakkan perkara berkenaan sepenuhnya dalam pengetahuan dan kawalan peribadi beliau.

Sebaliknya, Shafee berkata, Jabatan Peguam Negara melalui arahan Peguam Negara ketika itu memfailkan satu afidavit pada 3 Januari lalu.

“Namun, afidavit itu tidak mengesahkan dan tidak menafikan kesahihan Titah Addendum, sebaliknya hanya melampirkan satu kenyataan media daripada Istana Negara yang tidak relevan dengan isu perundangan teras yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman.

“Responden enggan mengambil pendirian muktamad mengenai ketulenan atau kandungan titah itu, walaupun sebelum ini telah menuntut pemohon mengemukakan bukti sedemikian bagi menyokong permohonan kebenaran,” katanya.

Shafee berkata demikian dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap Ahmad Terrirudin.

Asas permohonan itu ialah salinan Titah Addendum bertarikh 29 Januari tahun lalu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, yang diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang.

Tambahan pula, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan Titah Addendum terbabit.

Sementara itu Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berhujah permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan mengesahkan kewujudan Titah Addendum, adalah tidak berasas dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau juga menegaskan hujahan peguam bahawa Peguam Negara menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur (duty of candour) pada peringkat permohonan kebenaran, adalah ‘sama sekali tidak tepat.’

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menetapkan 4 September depan untuk keputusan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat