KUALA LUMPUR – Kedah adalah sebuah negeri yang berpotensi tinggi, tetapi potensi ini hanya dapat direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang bijak mentadbir dan bukannya sibuk menunggang agama dan kaum untuk kepentingan politik.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, laporan terbaru mengenai penarikan diri pelabur Korea Selatan daripada projek LRT Langkawi adalah sangat membingungkan.
Selar beliau, ini bukanlah kali pertama perkara ini berlaku. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor digesa untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini dan tidak lagi mengumumkan pelaburan yang belum pasti boleh dan mampu dilaksanakan.
“Sebelum ini, di bawah pimpinan Pas negeri Kedah telah menyaksikan penarikan diri kumpulan Bin Zayed dari Dubai daripada projek Langkasuka yang dikatakan bernilai RM40 bilion.
“Begitu juga kumpulan Al-Bukhary menjauhkan diri daripada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim. Apabila pelaburan besar tidak terlaksana kerana pelabur tiada keyakinan, ini telah menjejaskan imej Kedah.
“Hakikatnya, majoriti pelaburan ke dalam Kedah berlaku di Kulim Hi-Tech Park, yang diterajui oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Jika tiada Kulim Hi-Tech Park, ekonomi negeri Kedah boleh lumpuh kerana kerajaan negeri tidak mampu untuk memacu hub perindustrian berskala besar di luar Kulim.
“Begitu juga dengan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang yang mana kita dapat saksikan pengumuman pelaburan bernilai tinggi termasuk daripada Shandong Linglong dan Prinx Chengshan.
“Kedah Rubber City ini merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di mana Pengerusi NCIA adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegas Faiz.
Terdahulu media melaporkan, projek pembangunan sistem pengangkutan rel kereta api laju menggunakan teknologi maglev di Pulau Langkawi tidak diteruskan selepas pelabur dari Korea memutuskan untuk tidak melaksanakan pelaburan tersebut.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Haim Hilman Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas syarikat berkenaan menyiapkan kajian menyeluruh mengenai potensi pembangunan infrastruktur yang dijalankan pada tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri turut bersetuju bahawa pelaksanaan projek berimpak besar seperti maglev tidak perlu dilakukan terlalu awal kerana ia mungkin tidak memberi manfaat kepada semua pihak.
Sementara itu kata Faiz lagi, Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong juga telah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Madani sedang mempertimbangkan insentif khas kepada pelabur, terutamanya mereka di Kedah Rubber City, sekiranya mereka menggunakan pelabuhan domestik yang berhampiran.
Ujarnya, ini membuktikan Kerajaan Madani tidak menganak-tirikan Kedah walaupun MB Kedah berulang-kali menyalahkan Kerajaan Persekutuan atas kemiskinan di negeri Jelapang Padi itu.
“Malahan, MB Kedah sendiri mengakui bahawa jumlah pelaburan RM4.2 bilion yang diterima negeri tersebut pada suku pertama 2025 dipacu oleh Kulim Hi-Tech Park dan Kedah Rubber City di mana kedua-dua projek ini diterajui Kerajaan Madani.
“Jika projek-projek di bawah penyeliaan Kerajaan Madani boleh berjaya, mengapa berlaku penarikan diri pelabur daripada projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri? Persoalan timbul sama ada kerajaan negeri gopoh mengumumkan sesuatu projek dan adakah kaji selidik atau “due diligence” samaada projek berkenaan benar-benar berpotensi dan kebolehlaksanaan (feasibility) telah dibuat secara teliti?
“Misalnya, projek LRT Langkawi dan Langkasuka. Sepatutnya, Langkawi terlebih dahulu disediakan dari segi infrastruktur, tarikan dan hub komersial sebelum kerajaan negeri mengumumkan projek bernilai berbilion ringgit,” katanya.
Jelas, corak pentadbiran PAS ini menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir dengan baik. Ketidakmampuan ini meletakkan PAS tidak layak menyamakan perjuangan mereka dengan tuntutan Islam berkaitan karektor sebuah negara yang makmur (baldatun thayyibatun),” bidas beliau.
“Rakyat negeri Kedah perlu sedar untuk menilai keperluan menjadi kerajaan,” seru Faiz.



