KLANG – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Affifi Aris berharap formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dapat diperluaskan ke Selangor pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, kerjasama itu selari dengan aspirasi akar umbi yang mahu melihat penyatuan dan kerjasama lebih erat dalam kalangan parti-parti Melayu, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Hari ini Presiden sudah mendengar apa yang kita mahukan. Sudah tiba masanya kita menyantuni orang Melayu di peringkat akar umbi.
“Sekiranya formula di Negeri Sembilan ini berjaya, saya yakin pendekatan sama boleh dibawa ke Selangor,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kapar di Dewan Serbaguna Bandar Sultan Suleiman, hari ini.
Affifi berkata, kerjasama berkenaan berpotensi memperkukuh peluang BN untuk merampas semula kerusi Parlimen Kapar serta kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen berkenaan.
Menurutnya, seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu bersiap sedia dari sekarang dan tidak menunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk menggerakkan jentera pilihan raya.
“Pilihan raya boleh datang pada bila-bila masa. Apabila tiba masanya, kita tidak lagi mempunyai ruang untuk merajuk, mengeluh atau menyalahkan satu sama lain. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan.
“Siapa sahaja yang dipilih sebagai calon, kita mesti bantu sehabis baik. Kita perlu bergerak bersama kerana inilah peluang terbaik untuk kita menawan kembali kerusi-kerusi yang ada dalam Parlimen Kapar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap ahli mempunyai tanggungjawab terhadap perjuangan UMNO dan BN, yang perlu diterjemahkan melalui komitmen untuk hadir, bekerja dan menggerakkan parti di peringkat akar umbi.
Katanya, peningkatan jumlah Pemuda cawangan yang berjaya bersidang daripada 55 kepada 65 cawangan menunjukkan komitmen akar umbi Pemuda UMNO Kapar yang semakin kukuh.
“Kalau kita benar-benar sayangkan UMNO, kita mesti laksanakan tanggungjawab. Hadir mesyuarat, turun ke program, gerakkan ahli dan bekerja untuk parti.
“Perjuangan ini bukan tanggungjawab seorang individu, tetapi tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Affifi turut menyeru seluruh sayap dan kepimpinan UMNO di Kapar supaya mengetepikan perbezaan serta menghentikan rungutan sesama sendiri bagi memastikan parti berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita hentikan rungutan dan perbalahan sesama sendiri. Yang muda hormati yang lama, yang lama bimbing yang muda. Pemuda, Puteri, Wanita dan seluruh kepimpinan mesti bergerak sebagai satu pasukan.
“Tidak kira siapa yang menjadi calon, matlamat kita mesti satu — memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. Cita-cita politik boleh ada pada sesiapa sahaja, tetapi kemenangan parti mesti mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh organisasi perlu diteruskan sehingga ke peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), dengan setiap lapisan kepimpinan memainkan peranan masing-masing untuk mendekati masyarakat dan membina semula keyakinan terhadap parti.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO Kapar akan terus mempergiatkan usaha mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, menerusi pelbagai program termasuk Piala Ketua Pemuda, Kapar Ada Bakat dan siri Jom Borak.
Pendekatan kreatif menerusi platform media sosial juga akan terus diperkasakan bagi memastikan UMNO kekal dekat dan relevan dengan generasi muda serta masyarakat setempat.
Affifi berkata, kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesatuan akar umbi dan kesediaan setiap ahli untuk memikul tanggungjawab bersama demi memastikan kemenangan parti.
“Apabila pilihan raya tiba, kita gerakkan seluruh jentera di setiap cawangan dan setiap PDM. Kita satukan kekuatan dan bekerja untuk satu matlamat — kemenangan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi DUN, manakala baki 11 kerusi ditandingi PN, mencerminkan kerjasama pilihan raya antara kedua-dua gabungan berkenaan.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata prestasi kerjasama antara BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan akan menjadi antara penentu hala tuju kerjasama kedua-dua gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.



