KUALA LUMPUR– Seorang Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Greg Landsman, mengundang perhatian apabila mendakwa Malaysia sedang “menghalau orang Yahudi” susulan tindakan kerajaan mengarahkan mana-mana rakyat Israel yang berada di negara ini dihantar pulang serta-merta.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Kongres AS, Landsman menyifatkan tindakan Malaysia sebagai permulaan kepada “purge of Jews” (pembersihan terhadap orang Yahudi) dan mendakwa ia adalah sesuatu yang “boleh dijangka”. Beliau turut menggesa supaya bantuan AS kepada Malaysia disertakan dengan syarat negara ini tidak “mendiskriminasi sekutu” Amerika, sambil memaklumkan pejabatnya akan menghubungi Kedutaan Malaysia di Washington.
Bagaimanapun, kenyataan ahli Kongres dari Ohio itu dilihat mengelirukan kerana menyamakan tindakan terhadap warganegara Israel dengan orang Yahudi, sedangkan dasar Malaysia sejak sekian lama adalah berasaskan pengiktirafan terhadap negara Israel, bukannya agama atau etnik seseorang.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak penubuhan negara itu dan pendirian tersebut kekal konsisten merentasi pentadbiran pelbagai Perdana Menteri. Sehubungan itu, pemegang pasport Israel secara amnya tidak dibenarkan memasuki Malaysia tanpa kelulusan khas kerajaan.
Pada masa sama, rakyat Malaysia juga sejak dahulu tertakluk kepada sekatan perjalanan ke Israel, dengan pasport Malaysia selama bertahun-tahun memaparkan kenyataan bahawa ia sah digunakan ke semua negara kecuali Israel. Walaupun syarat itu telah berubah dari segi cetakan pasport, dasar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel dan mengawal perjalanan antara kedua-dua negara kekal tidak berubah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa jika terdapat rakyat Israel berada di Malaysia, mereka akan dihantar pulang kerana Malaysia tidak mengiktiraf negara tersebut. Kenyataan itu dibuat susulan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan kewujudan warga Israel di negara ini.
Pemerhati berpendapat kenyataan Landsman mengabaikan konteks sejarah dasar luar Malaysia yang telah diamalkan selama beberapa dekad dan bukan dasar baharu yang diperkenalkan susulan konflik semasa di Gaza.
Selain itu, penggunaan frasa “kicking Jews out of Malaysia” juga dianggap tidak tepat kerana tindakan kerajaan Malaysia merujuk kepada kewarganegaraan Israel,
bukannya agama Yahudi. Tidak semua rakyat Israel beragama Yahudi dan tidak semua penganut agama Yahudi merupakan warganegara Israel.
Greg Landsman merupakan Ahli Dewan Perwakilan AS bagi kawasan Ohio Ke-1 daripada Parti Demokrat. Walaupun beliau mempunyai kedudukan sebagai anggota Kongres Persekutuan, kenyataannya tidak mewakili dasar rasmi Kerajaan Amerika Syarikat, sebaliknya merupakan pendirian politik beliau sebagai seorang ahli Kongres.



