SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyasarkan untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas meletakkan calon di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melebihi majoriti mudah 19 kerusi yang diperlukan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU bersedia memikul tanggungjawab mentadbir negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada 1 Ogos depan.
“BERSATU melangkah memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan bertanding 24 daripada 36 kerusi DUN.
“Jumlah ini melebihi majoriti mudah 19 kerusi untuk membentuk kerajaan. Insya-Allah, jika diberikan mandat oleh rakyat Negeri Sembilan, BERSATU akan membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, BERSATU bertekad memanfaatkan mandat tersebut sebaik mungkin demi kebajikan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan.
Menurut Muhyiddin, parti itu juga akan mengumumkan tawaran atau manifesto khusus kepada rakyat Negeri Sembilan dalam masa terdekat sebagai panduan dasar sekiranya diberi peluang mentadbir negeri.
“Saya berharap agar pengundi-pengundi di Negeri Sembilan memberikan kepercayaan kepada calon-calon BERSATU untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat dan mudah-mudahan mereka semua dengan izin Allah beroleh kemenangan,” katanya.
BERSATU sebelum ini mengumumkan 24 calon yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan, dengan mengetengahkan gabungan pemimpin parti, bekas wakil rakyat, golongan profesional serta tokoh masyarakat.
Antara nama yang menjadi tumpuan ialah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin yang dicalonkan di DUN Seri Menanti. Penyertaan beliau dilihat membawa pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pembangunan sukan negara.
Turut menjadi perhatian ialah Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang ditugaskan bertanding di DUN Sikamat, sebuah kerusi yang dianggap antara medan persaingan utama dalam PRN kali ini.
BERSATU turut menampilkan Ketua Bersekutu BERSATU Malaysia, Sri Sanjeevan Ramakrishnan di DUN Jeram Padang, selain bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Haji Zamri Md Said yang kembali bertanding di kerusi tersebut.
Bagi memperkukuhkan sokongan masyarakat India, parti itu turut mempertaruhkan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dato’ V. Saravan Kumar di DUN Nilai, manakala beberapa lagi calon terdiri daripada profesional muda, usahawan dan aktivis masyarakat di seluruh negeri.
Selain itu, BERSATU turut memberi ruang kepada tiga calon daripada sayap Bersekutu BERSATU Malaysia serta dua calon daripada Parti Urimai yang bertanding menggunakan logo BERSATU, mencerminkan usaha parti itu memperluaskan sokongan merentasi kaum.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BERSATU bertanding menggunakan logo parti sendiri di 24 kerusi, manakala PAS bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) di 11 kerusi. Satu lagi kerusi ditandingi calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos depan selepas proses penamaan calon selesai semalam, dengan sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan dan 19 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri.


