KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Jemaah Menteri untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris mereka.
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, langkah yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan itu merupakan usaha penting bagi memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan melalui hukuman terhadap pesalah, malah turut mengambil kira kebajikan serta beban yang ditanggung mangsa dan ahli keluarga.
Menurut beliau, pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat kecuaian melampau, khususnya kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, sewajarnya dipertanggungjawabkan terhadap segala kesan yang timbul daripada perbuatan mereka.
“Langkah ini merupakan suatu usaha yang amat signifikan dalam memastikan keadilan tidak hanya dilaksanakan melalui hukuman terhadap pesalah, bahkan turut mengambil kira kebajikan, kehilangan dan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa serta keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan mewajibkan pampasan itu juga selari dengan prinsip Syariah yang memberikan penekanan terhadap pemeliharaan nyawa, pembelaan hak mangsa dan pelaksanaan pampasan melalui konsep diyat.
Menurutnya, mekanisme pampasan yang adil, menyeluruh dan berkesan mampu membantu keluarga mangsa meneruskan kehidupan selepas kehilangan insan tersayang, di samping memberikan mesej jelas bahawa kecuaian di jalan raya bukanlah kesalahan yang boleh dipandang ringan.
Ahmad Fauwaz berkata, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bersedia memberikan kerjasama serta pandangan dari sudut hukum dan prinsip Syariah bagi membantu kerajaan menggubal mekanisme pampasan yang adil, praktikal dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berharap pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan keadilan kepada mangsa, melindungi masyarakat serta mencegah tragedi jalan raya daripada terus berulang pada masa hadapan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk memperkenalkan peruntukan yang mewajibkan pesalah tertentu membayar pampasan kepada mangsa atau waris, khususnya dalam kes kemalangan yang berpunca daripada kecuaian serius seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.



