MNA sambut baik pengecualian waktu bekerja syif 45 jam seminggu

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman mengenai pengecualian pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu kepada 82,637 petugas kesihatan yang bekerja secara syif, termasuk Jururawat, Pembantu Perubatan dan Kakitangan Sokongan Kesihatan.

MNA dalam kenyataannya berkata pengumuman ini mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap hakikat bahawa sistem syif memerlukan fleksibiliti dan komitmen yang tinggi daripada para petugas kesihatan, terutamanya dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan rawatan kepada rakyat tanpa mengira masa.

“MNA berpandangan bahawa pengecualian ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada petugas barisan hadapan, malah menjadi satu langkah yang progresif ke arah menjaga kebajikan dan kesihatan mental golongan ini yang selama ini memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara,”kata kenyataan itu.

Tegasnya, kelangsungan sistem syif yang efisien harus disokong dengan penambahan sumber manusia dan persekitaran kerja yang kondusif agar mutu penjagaan pesakit tidak terjejas.

“Kami bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memantau pelaksanaan langkah ini secara berperingkat dan menyumbang input profesional demi kesejahteraan bersama,”ujarnya.

“Semua Jururawat dan petugas kesihatan diseru agar terus komited dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat, dengan keyakinan bahawa usaha dan pengorbanan mereka terus dihargai di peringkat tertinggi kepimpinan negara,”ujarnya lagi.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh petugas kesihatan terhadap pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Terdahulu, media melaporkan walaupun waktu kerja rasmi jururawat ketika ini ialah 42 jam seminggu, realitinya mereka sering bekerja antara 44 hingga 45 jam seminggu kerana perlu menyelesaikan tugasan yang tertangguh di wad.

Jika waktu kerja dilanjutkan kepada 45 jam, maka tempoh masa kerja mereka yang sebenar boleh mencecah 46 hingga 47 jam seminggu. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat