Kes skandal pelaburan Alpha Capital – Kronologi tindakan Undang-Undang dan harapan pelabur

Sebuah kisah malang dalam landskap pelaburan Malaysia kembali menggemparkan apabila seramai 50 pelabur tampil menuntut keadilan selepas kerugian hampir RM15 juta dalam skim pelaburan yang dikendalikan oleh Alpha Capital (M) Berhad. Pelaburan yang pada awalnya menjanjikan pulangan tetap sehingga lima peratus sebulan kini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila bayaran mula terhenti selepas beberapa bulan, disusuli dengan pelbagai alasan tidak munasabah dan tiada sebarang penjelasan jelas daripada pihak syarikat.

Isu ini mula dikesan sejak tahun 2023, apabila ramai pelabur mula menyuarakan kegusaran mereka mengenai kelewatan pembayaran pulangan pelaburan. Skim yang dipromosikan sebagai peluang pelaburan berprofil tinggi dengan jaminan pulangan bulanan, akhirnya terbukti tidak mampan apabila Alpha Capital gagal menunaikan janji. Ramai yang melabur ratusan ribu ringgit, dan dalam beberapa kes, jumlahnya mencecah jutaan. Seorang pelabur menyatakan beliau kehilangan wang simpanannya sebanyak RM1 juta, manakala seorang lagi melaporkan kerugian seluruh wang persaraannya berjumlah RM600,000.

Susulan kegagalan ini, Tetuan Hisyam Yunus & Co, mewakili 64 orang pelabur yang mengalami kerugian keseluruhan hampir RM20 juta, telah memfailkan tindakan saman sivil terhadap syarikat tersebut. Namun, apa yang lebih memeranjatkan adalah sikap tidak bekerjasama pengurusan Alpha Capital terhadap proses perundangan yang sedang berlangsung. Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengeluarkan dua perintah injunksi Mareva masing-masing pada 5 September dan 22 November 2024  yang menghalang dua pengarah syarikat, Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya yang juga bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli, daripada melupuskan aset syarikat atau peribadi sehingga kes selesai.

Menurut Peguamcara Pempetisyen, Tuan Muhammad Hisyam Md Yunus, arahan mahkamah itu menuntut agar syarikat mengemukakan laporan audit lengkap, senarai aset, serta dokumen-dokumen sokongan lain yang berkaitan. Namun, kata beliau, dokumen tersebut walaupun wujud, tidak dikemukakan dalam masa yang sepatutnya, malah ditangguhkan secara sengaja sehingga hampir setahun. Tambah beliau lagi, syarikat telah melantik auditor dari kalangan mereka sendiri, yang menimbulkan persoalan besar berkenaan ketelusan.

Disebabkan kegagalan mematuhi perintah mahkamah tersebut, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 20 hari serta denda RM10,000 setiap seorang terhadap dua pengarah tersebut atas kesalahan menghina mahkamah. Pelaksanaan hukuman ditangguhkan selama dua bulan bagi memberi ruang mereka mematuhi arahan, namun sehingga kini tiada pembayaran mahupun pematuhan dilaporkan. Tuan Hisyam menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu pengajaran penting bahawa sistem perundangan tidak boleh dipermainkan oleh mana-mana individu atau entiti, apatah lagi melibatkan pelaburan awam.

Ketika ditanya mengenai alasan yang diberikan oleh pihak Alpha Capital bagi kegagalan mereka membayar semula wang pelabur, Tuan Hisyam menyatakan bahawa pelbagai alasan yang tidak masuk akal telah diberikan. Antaranya, mereka mendakwa syarikat tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membuat bayaran balik. Dalam alasan lain, mereka menyatakan bahawa pelabur yang tidak mencapai jumlah minimum sepatutnya tidak menerima pulangan, dan pelaburan mereka perlu ditukar ke dalam bentuk unit koperasi.

Malah, ada juga dakwaan bahawa wang pelabur perlu disiasat terlebih dahulu bagi mengetahui sumbernya sebelum boleh dikembalikan. Dalam satu kenyataan yang lebih mengelirukan, pihak syarikat mengatakan bahawa pelabur hanya ingin tahu ke mana wang mereka dibelanjakan, dan bukannya menuntut semula pelaburan. Tuan Hisyam menyelar kenyataan ini sebagai cubaan melepaskan diri daripada tanggungjawab dan menegaskan bahawa apa yang dituntut oleh pelabur ialah wang yang telah dilaburkan secara sah, berdasarkan kontrak yang jelas.

Beliau juga menjelaskan bahawa meskipun kontrak pelaburan menyebut tentang pulangan tetap, ramai pelabur tidak diberi penjelasan terperinci tentang risiko pelaburan dan syarat-syarat kontrak. Tiada sesi penerangan atau penjelasan secara menyeluruh dibuat kepada pelabur, menyebabkan ramai yang tertipu dengan jaminan palsu dan testimoni meyakinkan. Menurutnya lagi, banyak istilah perundangan dalam kontrak telah digunakan semula oleh pihak syarikat untuk mengelak daripada membayar balik pelabur, sedangkan pelabur tidak benar-benar faham kandungannya ketika menandatangani.

Keputusan mengenai petisyen penggulungan syarikat (winding up) dijangka akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 November 2025. Ini merupakan detik penting yang dinanti-nantikan oleh lebih 60 pelabur yang menuntut keadilan atas kerugian hampir RM20 juta. Menurut Peguamcara Pempetisyen, Tuan Muhammad Hisyam Md Yunus, tindakan winding up ini bukan sahaja satu bentuk pemulihan undang-undang terhadap syarikat yang gagal menunaikan janji pelaburan, tetapi langkah strategik yang amat penting untuk mendedahkan semua transaksi kewangan syarikat, mengesan aset tersembunyi dan menilai kedudukan sebenar syarikat.

Beliau menjelaskan bahawa melalui proses penggulungan, mahkamah akan melantik seorang likuidator yang diberi kuasa penuh untuk menyemak audit, menyita aset, meneliti aliran kewangan dan membuat semakan ke atas semua akaun bank dan transaksi syarikat. Tanpa tindakan winding up, pelabur tidak akan dapat akses terhadap maklumat dan bukti yang boleh membantu menuntut semula wang mereka. Ia juga membuka laluan untuk tindakan undang-undang selanjutnya diambil sekiranya terbukti wujud unsur penipuan, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa oleh pihak pengurusan.

Menurut Hisyam lagi, ramai pelabur yang terlibat dalam kes ini merupakan individu biasa yang telah menyimpan bertahun-tahun, mengorbankan hasil titik peluh demi mencari peluang pelaburan yang kononnya selamat dan menguntungkan. Namun apa yang berlaku sebaliknya  wang mereka lenyap sekelip mata, manakala pengurusan syarikat berdolak-dalik, enggan bekerjasama, malah melanggar perintah mahkamah dengan sewenang-wenangnya.

“Tindakan winding up ini bukan semata-mata mahu menutup syarikat, tetapi ia satu perjuangan untuk menegakkan keadilan. Kita tidak boleh biarkan mereka yang menipu pelabur terus beroperasi atau melupuskan aset tanpa sebarang pertanggungjawaban. Ini soal integriti dan ketelusan dalam sistem pelaburan negara,” tegas Hisyam dalam kenyataannya.

Kes Alpha Capital telah menjadi satu pengajaran besar kepada masyarakat dan industri pelaburan tempatan. Ia menunjukkan betapa mudahnya pelabur menjadi mangsa jika tiada kawal selia ketat, dan betapa pentingnya ketelusan dalam setiap transaksi korporat. Pelabur diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan tinggi tanpa memahami risiko sebenar atau menyemak latar belakang syarikat dan pengurusan.

Lebih penting lagi, kes ini memberi peringatan kepada semua pemain industri kewangan dan pelaburan bahawa kepercayaan awam bukan sesuatu yang boleh dipermainkan. Sekali ia dikhianati, kesannya bukan sahaja kepada individu yang terlibat, tetapi kepada reputasi seluruh ekosistem pelaburan negara.

Maka, keputusan winding up yang bakal diumumkan kelak bukan hanya menjadi titik pemulihan kepada mangsa-mangsa pelaburan, tetapi juga berpotensi menjadi precedent penting dalam sistem kehakiman Malaysia satu garis pemisah yang jelas antara keadilan dan manipulasi dalam dunia korporat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat