PUTRAJAYA, – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti pelancongan tanpa lesen di seluruh negara, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kepatuhan kepada undang-undang demi keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MOTAC memaklumkan bahawa sepanjang dua minggu pertama Julai, sebanyak 22 operasi telah dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasanya di beberapa lokasi utama. Hasilnya, 180 kenderaan, 30 syarikat pelancongan, empat premis penginapan dan 33 pemandu pelancong telah diperiksa, dengan 13 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Antara operasi tersebut termasuk serbuan di Perak ke atas entiti yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah, hasil maklumat yang diterima daripada orang awam. Jika sabit kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], pihak terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
MOTAC turut menegaskan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan undang-undang industri pelancongan sentiasa dipatuhi.
Dalam masa sama, kementerian mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan pelancongan, termasuk pengangkutan, penginapan atau penganjuran pelancongan secara fizikal atau dalam talian, supaya segera memohon lesen di pejabat MOTAC berhampiran bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Orang ramai dan pemain industri turut digalakkan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar peraturan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://motac.spab.gov.my.
MOTAC menegaskan komitmennya untuk memastikan hanya pengusaha pelancongan yang sah dan berlesen dibenarkan beroperasi, demi kesejahteraan pelancong serta pembangunan industri pelancongan yang mampan dan inklusif berteraskan nilai-nilai MADANI.



