KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan menjadi pemerhati pasif sebaliknya memilih untuk menjadi agen perubahan demi masa depan yang adil, aman dan lestari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia tampil dengan pendekatan progresif yang memperkukuh prinsip ASEAN menerusi integrasi ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan perdagangan terbuka sebagai asas keselamatan serantau.
“Alhamdulillah, pagi ini dapat bersama dalam Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).
“Dunia kini di ambang perubahan besar dengan ketegangan kuasa besar, krisis kemanusiaan, dan cabaran iklim serta teknologi yang menuntut kepimpinan berani dan berprinsip.
“Malaysia tidak akan menjadi pemerhati pasif, sebaliknya memilih untuk menjadi agen perubahan demi masa depan yang adil, aman dan lestari,” katanya pada Khamis.
Anwar menegaskan, Malaysia kekal berpegang kepada prinsip “active non-alignment” sebagai strategi berdaulat yang menjamin maruah dan fleksibiliti.
“Kita bekerjasama dengan semua termasuk Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, India dan negara-negara Selatan Global atas dasar saling hormat dan kepentingan bersama. Dunia stabil tidak boleh dibina atas paksaan unilateral.
“Krisis Gaza dan Myanmar menuntut tindakan kolektif. Malaysia komited kepada proses damai milik rakyat Myanmar dan tegas menuntut gencatan senjata serta akses bantuan ke Gaza.
“Malaysia Madani akan terus menyuarakan kebenaran dengan prinsip, hikmah dan keberanian demi dunia yang lebih adil, bermaruah dan berpaksikan nilai kemanusiaan,” ujar Anwar lagi.