Pas serah memorandum kepada Duta Iran tanda solidariti atas serangan Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Duta Republik Islam Iran ke Malaysia sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap Iran yang menjadi mangsa serangan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel baru-baru ini.

Delegasi Pas diketuai Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Pas Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi turut disertai oleh Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman serta Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurut Khalil, serangan yang dilakukan ke atas Iran adalah satu tindakan zalim dan melampaui batas, lebih-lebih lagi berlaku ketika negara tersebut sedang menjalani rundingan diplomatik bersama kuasa-kuasa besar dunia berkaitan program nuklearnya di bawah seliaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini jelas merupakan satu bentuk pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat.

“Iran telah menandatangani perjanjian antarabangsa berkaitan program nuklear, sedangkan Israel langsung tidak terikat dengan mana-mana konvensyen dan perjanjian, bahkan terus bertindak secara unilateral dan ganas,” katanya dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas pertemuan rasmi di Kedutaan Iran di Jalan U Thant, lapor Harakah.

Tambah beliau, tindakan Israel itu juga dilihat bermotifkan dendam terhadap pendirian tegas Iran yang secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang penubuhan negara haram Israel sejak tahun 1948.

“Umat Islam di seluruh dunia harus menolak sikap was-was dan curiga terhadap sesama umat. Sudah tiba masanya kita bangkit bersatu tanpa mengira mazhab, kaum atau latar belakang untuk menunjukkan pendirian bersama terhadap kezaliman yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, tindakan menyasarkan rakyat awam dan kawasan strategik Iran sewaktu rundingan antarabangsa sedang berlangsung, bukan sahaja menggambarkan keangkuhan Zionis, malah turut mencabar ketenteraman serantau dan sistem undang-undang dunia.

Dalam pertemuan tersebut, memorandum rasmi daripada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang telah disampaikan dan diterima secara langsung oleh Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia.

Memorandum itu antara lain menyatakan kecaman terhadap tindakan zionis serta menyeru agar seluruh dunia Islam bertindak balas secara kolektif dalam platform diplomasi dan advokasi global.

Selain itu, Pas juga memaklumkan akan menggerakkan pelbagai usaha lanjutan termasuk membawa usul khas di Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri yang dikuasai bagi mengutuk serangan tersebut.

Pas turut merancang mengadakan siri program kesedaran seperti siaran langsung, ceramah, forum dan wacana umum bagi memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap isu yang berlaku.

“Insya-Allah, kita tidak akan berdiam diri. Kezaliman mesti dibalas dengan suara keadilan dan kesatuan umat. Ini bukan semata-mata isu antara dua negara, tetapi menyentuh prinsip kemanusiaan sejagat,” tegas Khalil.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat