KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan berlaku perselisihan faham antara kepemimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat dan negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi BN itu berkata, kepemimpinan gabungan berkenaan tidak memiliki perbezaan prinsip, sebaliknya hanya melakukan penyelarasan tertentu sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah.
“Kita sebenarnya melakukan penyelarasan (bagi menghadapi PRN Sabah) dan menerusi semakan, saya dapati kadang-kadang kenyataan (kepemimpinan BN Pusat dan negeri) diambil di luar konteks.
“Situasi ini tiada perbezaan daripada segi prinsip antara pendirian negeri, terutama Umno dan BN dengan (kepemimpinan di peringkat) Pusat.
“Kami sering mengadakan rundingan dan perbincangan (persediaan menghadapi PRN Sabah),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Kebangsaan di Bangi, lapor BH pada Khamis.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata demikian sebagai mengulas dakwaan keputusan kepemimpinan BN Pusat dan negeri tidak sehaluan dalam soal kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
BN dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan belum memuktamadkan kerjasama secara rasmi sebagai pakatan bagi menghadapi PRN Sabah.
Kedua-dua gabungan itu dijangka berbuat demikian dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bertindak sebagai ‘jambatan’ bagi menghubungkan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi PRN.
“Ini kerana kita buat ketetapan BN dan PN (berada) dalam kesepakatan. Keputusan kita buka pintu kepada parti dan gabungan lain (untuk bekerjasama).
“Perkara ini sedang berada dalam ‘pipeline’. Saya tidak fikir perlu jambatan atau sebarang saluran lain, Insya-Allah akan adakan rundingan lebih luas daripada GRS,” katanya.