Permintaan avokado tempatan bakal melonjak sejajar peluasan SST -pengusaha

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap avokado tempatan dijangka positif berikutan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas barangan import, kata pengusaha.

Penasihat Persatuan Penanam Avokado Sabah Jamawi Jaafar berkata ia juga berupaya menstabilkan harga avokado tempatan yang ketika ini lebih rendah berbanding import, walaupun kualitinya hampir sama.

“Sekurang-kurangnya bila ada harga lebih baik untuk pasaran tempatan, lebih ramai pengusaha akan menceburkan diri dalam penanaman avokado.

“Selama ini masyarakat memahami avokado tanaman luar negara, maka kita bergantung kepada import 85 peratus manakala baki 15 peratus ditampung pengusaha tempatan tapi kita masih bersaing dengan harga daripada avokado import,” lapor FMT.

Bekas Adun Kemabong itu juga memaklumkan keluasan tanaman itu di Sabah ketika ini sekitar 5,000 ekar.

Jamawi memberitahu buat masa ini harga avokado tempatan terus dari ladang adalah antara RM8 hingga RM10 sekilogram, manakala jualan di pasaran mencecah sekitar RM20 sekilogram.

Jamawi berkata, penetapan harga lebih stabil dan sokongan berterusan kerajaan akan memberikan keyakinan kepada pengusaha meluaskan lagi kawasan tanaman sekali gus meningkatkan pengeluaran domestik.

Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah lembaga untuk buah-buahan berpotensi tinggi seperti avokado dan durian selain menetapkan hala tuju jelas industri tanaman lain seperti nanas, lada hitam dan kelapa sawit.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan skop SST ke atas barangan import, menegaskan ia menyasarkan golongan berpendapatan tinggi.

Kata Menteri Kewangan, kerajaan memilih mengenakan cukai terhadap barangan lazim dinikmati golongan berada seperti avokado dan ikan kod berbanding membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Pada 9 Jun, Kementerian Kewangan (MoF) berkata barangan pilihan tertentu seperti ketam ‘king crab’, salmon, ikan kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati (essential oil), sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan 5 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

MoF turut menjelaskan hasil pertanian ditanam di Malaysia tidak akan dikenakan cukai jualan, menjawab laporan berita mempersoalkan pelaksanaan cukai ke atas buah-buahan tempatan.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata peluasan SST disasarkan secara strategik untuk menyokong permintaan terhadap hasil tani tempatan dan mengukuhkan keterjaminan makanan.

Sementara itu portal berkenaan juga melaporkan, pengusaha avokado di Pagoh, Johor, Joni Muhamat Yahya berkata langkah kerajaan mengenakan SST ke atas avokado import adalah penghargaan terhadap petani tempatan yang mengusahakan tanaman tersebut.

Dia yang mengusahakan tanaman itu di ladang seluas 8 ekar mencadangkan kerajaan menyediakan insentif khusus untuk membantu pengusaha tempatan memandangkan industri berkenaan sedang pesat berkembang.

“Peluang ini adalah terbaik bagi saya serta petani lain sebagai pengusaha avokado dan saya boleh meluaskan lagi tanaman dengan skala besar.

“Apa yang saya nampak di masa akan datang negara memerlukan avokado dalam makanan dan minuman. Kerajaan wajar membantu bagi meningkatkan pengeluaran,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat