KUALA LUMPUR – Firma penyelidikan Ilham Centre mendapati bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal mendominasi landskap digital politik Malaysia.
Berdasarkan jumlah keseluruhan pengikut, Najib berada di kedudukan pertama dengan 9.35 juta pengikut, menjadikannya tokoh politik paling dominan di media sosial Malaysia.
“Kekuatan beliau amat ketara di Facebook (4.6 juta) dan X (3.2 juta), menunjukkan pengaruh besar terhadap audiens matang dan pengguna politik aktif.
“Kedudukan ini membayangkan bahawa walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan undang-undang, jenama politik Najib masih mempunyai daya tarikan digital yang sangat tinggi,” kata firma penyelidikan itu.
Menurut Ilham Centre lagi, analisis ini menilai kekuatan pengaruh digital 21 tokoh politik utama Malaysia berdasarkan jumlah pengikut di enam platform media sosial utama iaitu Facebook, YouTube, X, Instagram, TikTok dan Threads.
“Data dikutip pada 18 Mei 2026. Jumlah keseluruhan pengikut (meskipun mungkin berlaku pertindihan oleh orang yang sama) digunakan sebagai indikator utama untuk mengukur capaian digital serta pengaruh komunikasi politik setiap tokoh dalam ekosistem media sosial semasa,” katanya.
Selain itu dapatan kajian itu juga menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berada dalam kelompok elit digital.
“Dr Mahathir menduduki tempat kedua dengan 8.11 juta pengikut, diikuti rapat oleh Anwar dengan 7.90 juta pengikut.
“Dr Mahathir menunjukkan kekuatan besar di Facebook (4 juta) dan Instagram (1.5 juta), menandakan daya tarikan rentas generasi.
“Sementara itu, Anwar Ibrahim mempunyai prestasi lebih seimbang merentas platform dengan kekuatan ketara di TikTok (1.2 juta) dan X (1.9 juta), mencerminkan keberkesanan komunikasi beliau kepada khalayak muda dan urban.
Manakala Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman muncul sebagai ‘raja media sosial generasi muda’.
“Walaupun berada di tangga keempat keseluruhan (7.65 juta pengikut), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan dominasi jelas dalam platform berorientasikan generasi muda. Beliau mencatat angka tertinggi di: Instagram: 2.2 juta dan TikTok: 2.3 juta serta Threads: 643,000.
“Prestasi ini menggambarkan strategi digital yang lebih moden, visual dan bersifat “engagement-driven”.
“Syed Saddiq berjaya membina pengaruh kuat dalam kelompok anak muda serta pengguna media sosial baharu,” jelas Ilham.
Khairy Jamaluddin pula kekal relevan walaupun berada di luar kerajan.
“Khairy Jamaluddin berada di kedudukan kelima dengan 6.44 juta pengikut, didorong oleh kekuatan besar di X (2.5 juta) dan kehadiran seimbang di Instagram serta TikTok.
“Ini menunjukkan beliau masih mempunyai kredibiliti dan pengaruh tinggi dalam ruang politik digital walaupun tidak lagi berada di barisan utama pentadbiran negara,” jelasnya.
Secara keseluruhan, Facebook kekal sebagai platform utama politik Malaysia, dengan jumlah pengikut tertinggi terkumpul dalam kalangan tokoh politik.
“Tokoh-tokoh senior seperti Najib, Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengaruh besar di platform ini.
“Ini menunjukkan bahawa Facebook masih penting untuk komunikasi politik massa, khususnya dalam kalangan pengundi dewasa dan luar bandar.
“Platform seperti TikTok dan Instagram serta Threads memperlihatkan perubahan pola komunikasi politik terkini. Tokoh seperti Syed Saddiq, Anwar, Khairy dan Nurul Izzah Anwar menunjukkan prestasi yang lebih baik di platform ini.
“Fenomena ini memberi isyarat bahawa strategi politik masa depan akan semakin tertumpu kepada kandungan video pendek, naratif visual dan pendekatan lebih santai untuk menarik perhatian pengundi muda,” kata Ilham.
Firma penyelidikan itu juga mendapati, jumlah pengikut YouTube secara relatif lebih rendah berbanding platform lain.
“Datuk Seri Rafizi Ramli muncul sebagai peneraju YouTube dengan 137,000 pengikut, diikuti Dr Mahathir dan Khairy.
“Ini menunjukkan bahawa kandungan berbentuk penjelasan panjang, dasar dan analisis masih mempunyai audiens tersendiri tetapi belum dimanfaatkan secara optimum oleh kebanyakan ahli politik Malaysia.
“Selain itu, Shorts yang memberi saingan segmen video-video pendek turut menyumbang signifikan dalam pengaruh media sosial,” katanya.
Ilham Centre berkata, terdapat perbezaan ketara antara gaya pengaruh digital: Tokoh senior politik (Najib, Mahathir, Muhyiddin, Zahid) lebih dominan di Facebook dan X, mengekalkan pengaruh melalui jaringan penyokong tradisional.
“Tokoh generasi pertengahan (Anwar, Khairy, Rafizi) menunjukkan keseimbangan merentas platform.
“Tokoh muda (Syed Saddiq, Nurul Izzah) lebih kuat di Instagram, TikTok dan Threads, menonjolkan gaya komunikasi yang lebih dekat dengan budaya digital anak muda gen-Z dan gen-Alpha.
“Secara keseluruhannya, landskap media sosial politik Malaysia menunjukkan bahawa pengaruh digital kini menjadi aset digital politik yang sangat penting dalam membentuk persepsi awam, menyebarkan mesej politik dan memobilisasi sokongan.
“Najib masih mendominasi dari segi jumlah pengikut keseluruhan, namun Syed Saddiq memperlihatkan pengaruh paling besar dalam platform generasi muda.
“Anwar dan Mahathir pula mengekalkan kedudukan sebagai tokoh politik arus perdana dengan capaian digital yang luas merentas pelbagai segmen masyarakat.
“Trend ini menunjukkan bahawa masa depan politik digital Malaysia bukan lagi bergantung kepada satu platform sahaja, tetapi kepada keupayaan tokoh politik membina kehadiran yang seimbang dan relevan merentas pelbagai medium media sosial mengikut profil pengundi sasaran,” katanya.



