SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan teguran terbuka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor Ronnie Liu Tian Khiew supaya lebih memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara termasuk soal menghormati institusi Raja.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda secara khusus menyarankan kedua-dua pemimpin DAP itu hadir ke Dataran Selangor setiap minggu untuk membaca dan memahami makna sebenar Rukun Negara.
“Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.
Titah itu dizahirkan selepas baginda berangkat ke Dataran Selangor (Selangor Square) pada 19 Mei 2026 bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Menurut baginda, plak monumen tersebut dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor lengkap dengan kemudahan tempat duduk untuk pengunjung, manakala kos pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa Rukun Negara lahir daripada pengalaman pahit tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan menjadi asas penting kepada perpaduan negara.
“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan kerajaan ketika itu telah berbincang bersama anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda menyeru semua wakil rakyat di Selangor supaya hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi membaca dan memahami prinsip-prinsip Rukun Negara.
Plak monumen itu memaparkan lima prinsip utama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.



