Gerak Geri Kerajaan Perpaduan Umpama Lalang Ditiup Angin – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh merombak kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak istimewa yang telah diterima oleh masyarakat majmuk selama ini dan tidak sewajarnya melakukan perubahan secara negatif ibarat tikus membaiki labu oleh kalangan tikus-tikus politik yang berkumpul dalam semak lalang yang mudah terbakar dan dicabut.

Hakikatnya berkenaan isu kalimah Allah, sudah ada keputusan terdahulu, hanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sahaja yang serba salah kerana pendiriannya yang bergoyang ditiup angin, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Terkini sekali lagi digemparkan dengan isu kalimah Allah yang sudah ada keputusan terdahulu oleh pihak hal ehwal agama di negeri masing-masing dan Jabatan Perdana Menteri yang terdahulu.

“Keputusannya adalah demi menjaga urusannya secara fatwa yang berpandukan Siyasah Syari‘yyah dan Maqasid al-Syari‘ah dalam hubungan dengan bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah, bukan berasaskan maksudnya yang asal atas sempadan menjaga perpaduan dengan memberikan hak yang saksama kepada semua pihak,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS pada Jumaat.

Bahkan menurut Hadi, Selangor sudah mempunyai keputusan ketika negara dijajah sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman.

Akan tetapi katanya, kerajaan Malaysia kini melihat dari segi maslahah Kerajaan Perpaduan ciptaannya yang bersifat pragmatik, bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah mengikut acuan Islam.

“Tanpa mereka pedulikan terhadap sensitiviti umat Islam yang berpandukan agamanya daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan. Hakikatnya, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan raja-raja.

“Dalam al-Quran sudah terdapat banyak ayat yang menjadi panduan agar membiarkan masyarakat bukan Islam dengan agamanya, tetapi dijaga sempadannya agar tidak mengelirukan umat Islam, bukan bebas tanpa sempadan,” ujar Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu lagi.

Jelas Hadi lagi, kerajaan campuran ciptaan PH menamakan campurannya dengan jenama Kerajaan Perpaduan yang agak berlainan daripada istilah sebenar dalam kamus politik semua bahasa. Cara mereka mengumpulkan sokongannya juga agak luar biasa daripada amalan biasa.

“Kerajaannya dipimpin oleh parti yang lebih kecil berprinsipkan pragmatik dan didominasi oleh parti lebih besar yang nyata ideologinya, turut bersamanya kumpulan kecil dan individu yang oportunis.

“Gerak-gerinya selepas berkuasa laksana lalang yang mengikut tiupan angin.

“Adapun konsep perpaduannya adalah meraikan semua pihak tanpa sempadan agama, ideologi dan moral atau fitrah manusia asalkan mendapat kehendak yang difikirkan majoriti kerusi.

“Mereka mengheret rakyat apabila berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang menyeberangi anak sungai dengan meniti kayu reput yang dilalui oleh semut yang berjuta ramainya, atau kaedah politik ciptaan Barat yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara,” katanya.

Perpaduan sesama mereka berpegang kepada hablu al-nas (tali manusia), bukan kepada hablu Allah (tali Allah) sepertimana firman Allah dalam al-Quran supaya berpegang kepadanya, kata Hadi lagi.

Menurut beliau, pakatan tersebut didominasi oleh DAP yang nyata ideologinya bercanggah dengan Islam, bahkan kenyataannya jelas menunjukkan mereka menentang Islam serta kepentingan Melayu Islam dan bumiputera. Malah, pakatan itu turut disertai oleh parti-parti yang pragmatik tanpa ideologi.

“Termasuk juga kalangan yang tidak bersih kerana telah dihukum kesalahannya dan kalangan yang masih menanti keputusan mahkamah yang diusahakan untuk digugurkan atau dilepaskan kerana pendakwaan kes mahkamahnya dilakukan secara terpilih. Begitu juga, kalangan mereka yang sedang menunggu dan kalangan yang mahu menyelamatkan diri kerana kesalahannya atau kalangan oportunis daripada semua pihak.

“Jika dilihat kembali, semua kenyataan para pemimpin serta jurubicaranya yang paling lantang sebelum PRU-15 dan sewaktu berkempen sebelum menjadi kerajaan, betapa kerasnya ucapan mereka terhadap golongan yang dinamakan penyangak, perasuah dan jenama-jenama yang lain.

“Tiba-tiba, mereka bersekongkol bagi menyempurnakan kerajaannya dengan mereka yang telah dinyatakan sifat-sifat sedemikian. Bahkan, diubah suaranya dengan melemparkan tuduhan semberono terhadap mereka yang terpilih menjadi sasaran dalam kalangan parti-parti lawannya dan tokoh-tokoh yang menolak kerajaannya, serta mereka yang tidak menyertai pakatannya,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tanpa kemampuan menghadapi masalah politik dalamannya dan hubungan dalam kalangan para sahabatnya yang dapat dilihat dengan nyata dan secara terbuka pergolakannya, ia sekali gus menunjukkan tiada perpaduan dan langsung tidak menepati nama kerajaan perpaduan yang ditayangkan kepada umum. Maka, bagaimana kemampuannya untuk menghadapi masalah negara yang lebih besar dan masalah antarabangsa yang mencabar?

“Keadaannya yang tidak mempunyai kemampuan untuk menutup kelemahan dan kesilapannya yang terdedah kepada rakyat, lalu dihalakan kepada pihak yang lain. Hal ini semata-mata bagi mengalihkan perhatian atau mewujudkan isu-isu sampingan yang dikutip daripada segenap pihak, khususnya kenyataan pihak lawannyayang difikirkan boleh mengena musuhnya.

“Kadang-kadang apa yang mereka lakukan itu kembali ke zaman penjajah dahulu apabila menggunakan taktik yang pernah digunakan dengan berlindung di belakang raja-raja yang tidak memiliki kuasa politik yang berdaulat. Sebaliknya, penjajah dahulu pula menuduh pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sebagai penderhaka kepada raja-raja,” bidas beliau.

Kata Hadi lagi, wala’ (kesetiaan mereka) diberikan kepada manusia, bukan kepada Allah SWT sahaja. Hal ini disebabkan kerajaannya didominasi oleh banyak kalangan yang melantik tuhan-tuhan selain daripada Allah atau terlalu liberal fahamannya yang tidak bertuhan.

“Adakalanya juga, mereka laksana makhluk yang boleh berubah warnanya bagi menyelamatkan diri mengikut keadaan sekeliling. Ada tempatnya mereka bersolat, berzikir, berselawat dan bernasyid, ada tempatnya mereka menari dan menyanyi sehingga menjerit kerana mabuk.

“Malah, ada yang berlakon dan boleh berlagak lakonannya menjadi alim, lebai dan boleh diubah lagak lakonannya sehingga menjadi samseng dan penjenayah. Media digunakan bagi memaparkan semua lakonan itu kepada rakyat mengikut jadual siarannya yang dapat dilihat di kaca televisyen atau komputer yang menjadi alat.

“Saya nasihatkan kepada penganut Islam yang bertugas dengannya supaya menarik diri. Hal ini demikian kerana, ia berkait dengan persoalan haram dan halal rezekinya, pandangan jahil yang mengelirukan dan boleh membawa kepada dosa yang berpanjangan, atau ilmunya salah atau disalahgunakan yang juga boleh membawa laknat Allah ke atas para hamba-Nya yang soleh.

“Maka, PAS bersama PN tidak boleh diheret mengikut selera politik tanpa hala tuju yang istiqamah untuk mempertahankan kepimpinan Melayu Islam bersama semua parti Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Termasuk daripada kalangan Umno yang berpegang kepada perjuangan asalnya bersama PAS, para tokoh dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat