Single mandarin impian layla

- Advertisement -

MAMPU bertutur dalam bahasa Mandarin menjadi satu kelebihan buat penyanyi muda, Layla Sania yang muncul dengan single terbaharunya, berjudul Zhua Shou Pei You Shou.

Secara tak langsung, ia juga membuktikan bahawa penyanyi berusia 19 tahun ini berjaya merealisasikan impiannya dengan menghasilkan single berbahasa Mandarin.

“Sejak mula melangkah masuk ke dalam industri pada 2019, saya sudah memasang impian untuk hasilkan lagu berbahasa Mandarin. Alhamdulillah, kini impian saya menjadi kenyataan.

“Sebenarnya, saya mula berbahasa Mandarin sejak tadika lagi sehinggalah saya melangkah ke sekolah menengah. Jadi, memang bahasa Mandarin bukan lagi bahasa yang asing untuk saya,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Zhua Shou Pei You Shou, ia mengisahkan mengenai keberadaan seseorang untuk pasangannya.

“Kalau diterjemah secara terus, ia membawa maksud tangan kiri yang menemani tangan kanan. Dalam kata lain, jalan ceritanya mengenai seseorang yang sentiasa ada untuk pasangannya.

“Alhamdulillah, saya faham keseluruhan jalan cerita dalam lagu ini dan dapat menjiwainya,” katanya.

Tambah penyanyi yang pernah menyertai program I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga dan Immortal Song itu juga, peluangnya berkolaborasi dengan komposer serta penulis lirik dari Singapura itu juga adalah peluang berharga buatnya.

“Pada awalnya, syarikat rakaman Warner Music Malaysia menyenaraikan 14 lagu untuk saya pilih dan saya pilih lagu ini. Tak sangka pula ia adalah hasil karya komposer dan penulis lirik dari Singapura.

“Jadi, secara tak langsung, saya berkolaborasi dengan komposer Wu Zhoushuo dan Roland Lin Shijie serta penulis lirik, Zhang Danning dari negara jiran itu dan bagi saya, itu adalah peluang yang sangat berharga.

“Memandangkan lagu ini dalam Bahasa Mandarin, pihak pengurusan juga ada merancang untuk meluaskan lagi liputan lagu ini sehingga ke luar negara sekiranya ada rezeki,” katanya.

Sebelum ini, Layla pernah muncul dengan dua single berbahasa Melayu berjudul Lakaran dan Que Sera Sera, namun kurang mendapat perhatian.

“Sejujurnya, saya tak sedih bila lagu pertama dan kedua saya tak mendapat perhatian. Saya tahu, semua perkara ada prosesnya dan saya tak mahu kalau saya naik terlalu cepat, saya turun pun terlalu cepat.

“Kalau boleh, biarlah perjalanan karier seni saya berjalan dengan stabil dan lancar,” katanya.

Selain itu, pelajar diploma dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak itu juga tidak merancang untuk menggunakan gimik bagi menaikkan namanya.

“Saya dan syarikat rakaman bersetuju untuk tidak menggunakan sebarang gimik bagi menaikkan nama saya. Kalau boleh, saya nak jadi diri saya sendiri dan kekal dengan prinsip ini.

“Biarlah orang kenal saya menerusi bakat dan kerja keras saya,”

katanya.

Sehingga kini, video muzik Zhua Shou Pei You Shou ditonton hampir 200,000 sejak dilancarkan pada 22 Januari lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat