Palestin: Dosa Britain, Kekejaman Amerika Syarikat dan Langkah China

- Advertisement -

Pergelutan ketenteraan di Semenanjung Gaza sejak minggu lalu bukanlah sesuatu yang aneh dan luar biasa lagi. Sejak beberapa dekad lalu, Israel sering sahaja mencari jalan untuk terus menindas, menekan dan membunuh rakyat Palestin atas nama keselamatan negara mereka.

Konflik terbaharu ini dianggarkan telah menyebabkan lebih 180 orang terbunuh dan beribu orang cedera di kedua-dua belah pihak. Namun majoriti yang terkesan tentulah penduduk Palaestin.

Sejarah tercatat bahawa konflik Palestin-Israel ini satu-satunya satu perbalahan keganasan terpanjang yang gagal diamankan oleh dunia. Ia satu konflik yang dimulakan oleh Britain pada 1917 dan digagalkan sebarang jalan perdamaian oleh Amerika Syarikat sehingga kini.

Pada tahun 1917, British di bawah pimpinan General Allenby telah berjaya menawan Palestin daripada naungan Uthmaniyyah. Beliau berjaya menawannya Baitulmaqdis dan keseluruhan Palestin pada bulan Disember 1917.

Dalam masa yang sama di London, aristokrat British bersetuju dengan Deklarasi Belfour yang menyokong perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin di bawah naungan British.

Deklarasi Belfour adalah agenda Zionis Israel di Eropah yang mahukan sebuah negara untuk mereka. Ini berikutan sentimen anti-Semitisme atau anti Yahudi kian membesar di Eropah, Orang Yahudi percaya Palestin menawarkan tempat terbaik untuk mereka membina semula kehidupan dan memulihkan imej bangsa yang rosak.

British pula melihat rancangan ini sesuatu yang boleh mengurangkan jumlah orang Yahudi di negara tersebut dan Eropah. Serangan ke atas Palestin serentak dengan Deklarasi Belfour menunjukkan peranan besar British dalam mewujudkan negara Israel moden.

Apabila Adolf Hitler melancarkan Perang Dunia Kedua pada 1 September 1939, Nazi menjadikan orang Yahudi sebagai sasaran utama mereka. Berjuta orang Yahudi di Poland dan Eropah Timur lain dibunuh oleh Hitler.

Apabila tamat perang dunia kedua pada 1945, masyarakat Yahudi di Poland dan Eropah Timur lain yang melarikan diri ke kem-kem pelarian di Barat merasakan situasi anti-Yahudi masih wujud dalam kalangan penduduk tempatan.

Dalam masa yang sama British yang menguasai Palestin telah bersetuju untuk memberi lebih tempat kepada orang Yahudi Eropah berpindah ke Palestin.

Perancangan Zionis akhinya berjaya apabila pada 1947 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 181, telah meluluskan ketetapan Palestin harus dibahagi kepada tiga kategori:

– pertama, sebuah negara Yahudi,
– kedua, sebuah negara Arab dan
– ketiga, sebuah wilayah yang dikuasai atau diperintah oleh PBB (Corpus separatum) di sekitar bandar Baitulmaqdis.

Satu-satunya sebab kewujudan negara Israel di bumi Palestin adalah kerana Eropah mahu mengurangkan jumlah orang Yahudi di sana.

Sejak terbentuknya kerajaan Israel, negara tersebut sentiasa mencari alasan dan sebab untuk melakukan serangan ke atas penduduk Palestin.

Jika pada awal-awal penubuhan negara tersebut, serangan dilakukan oleh militan-militan Yahudi, seterusnya serangan dilakukan oleh tentera Israel sendiri.

Antara peritiwa penting ialah serangan dan penaklukan Israel ke atas Semenanjung Gaza milik Palestin pada 1967. Ia hanya diserahkan semula kepada Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 1993. Bagaimanapun hanya pada 2005 semua askar israel dan peneroka haram mereka meninggalkan Gaza.

Kegagalan resolusi 181 PBB dan banyak lagi perjanjian damai lain seperti Perjanjian Kem David 1979 adalah kerana sikap kuasa besar Amerika Syarikat yang sentiasa menyebelahi Israel. Sikap Amerika Syarikat ini membolehkan Israel bertindak sesuka hati tanpa takutkan tindak balas dunia terhadapnya.

Minggu lalu Reuters melaporkan Amerika telah menunda usaha Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengeluarkan pernyataan umum mengenai ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Palestin.

Washington menganggap kenyataan itu “berbahaya bagi usaha di belakang tabir untuk mengakhiri keganasan.”

Amerika selalu menjadi perisai bagi Israel di UNSC, dan pentadbiran Biden hari meneruskan tradisi yang sama dengan mendakwa Israel hanya sekadar mempertahankan diri.

Namun setelah Israel mengebom sebuah bangunan di Gaza yang menempatkan pejabat Associated Press, Aljazeera dan media lain pada hari Sabtu, tekanan terhadap Amerika dan Israel semakin meningkat.

Kini harapan Palestin kepada UNSC terletak kepada China. China tidak segan silu mengecam Amerika Syarikat yang menghalang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) daripada mencapai ketetapan bagi membantu konflik Palestin.

Sebagai Pengerusi UNSC, China menyifatkan proses perdamaian Timur Tengah telah menyimpang dari jalur asalnya. Resolusi UNSC belum dilaksanakan dengan sungguh-sungguh dan hak Palestin untuk membangun sebuah negara merdeka terus dilanggar.

Menteri Luar China Wang Yi, dengan jelas menunding jari kepada Amerika dengan berkata, “Dewan ini gagal mencapai kesepakatan, kerana Amerika Syarikat berdiri di sisi yang berlawanan dari keadilan internasional.”

Nyata perubahan kepimpinan Amerika Syarikat dari Trump kepada Biden tidak memberi erti apa-apa kepada perdamaian Timur Tengah.

Palestin masih menjadi mangsa permainan politik negara kuasa besar yang tidak mempedulikan jumlah kematian dan kecederaan rakyat Palestin akibat kekejaman Israel.

Sejauh mana ketegasan China untuk menentang Israel dan Amerika Syarikat masih kabur. Negara-negara kuasa besar ini juga pasti mempunyai percaturan tersendiri dalam menguruskan konflik antarabangsa.

Palestin tidak punya kekayaan minyak dan galian lain untuk menjadikan mereka keutamaan kuasa besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat