Kes ‘safe house’ simpan wang RM5 juta masih disiasat SPRM – Azalina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes membabitkan ahli politik yang dikaitkan dengan ‘safe house’ yang menjadi tempat simpanan wang berjumlah RM5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu bahawa SPRM telah siap menjalankan siasatannya namun kertas siasatan dikembalikan timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

“SPRM dalam tindakan melaksanakan arahan tindakan lanjut tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau berkata undang-undang melarangnya daripada mendedahkan butiran siasatan sehingga individu terbabit dituduh di mahkamah.

Azalina menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan sebab kelewatan untuk mendakwa individu berprofil tinggi, termasuk ahli politik yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan.

SPRM pada Oktober lalu berkata salah seorang suspek yang ditahan dalam siasatan telah mendedahkan ‘safe house’ digunakan untuk menyimpan hasil rasuah – kira-kira SGD1,529,000. Wang itu kemudiannya dirampas pihak berkuasa.

Ahli politik itu dipercayai mengarahkan seorang ahli perniagaan menyimpan wang itu, yang diberikan individu tidak dikenali, di pangsapuri di Kuala Lumpur.

Wang itu disimpan untuk digunakan ahli politik terbabit dalam aktiviti politiknya, dedah sumber SPRM.

Sinar Harian melaporkan bekas eksekutif kanan Menteri Besar Selangor Incorporated seorang daripada dua individu yang ditahan SPRM dalam siasatan ke atas konsesi perlombongan pasir diberikan anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Bekas eksekutif dan suspek kedua, seorang ahli perniagaan, didakwa mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.

Menjawab soalan tambahan Wong Chen mengenai tempoh untuk suspek didakwa di mahkamah, Azalina berkata tiada tempoh ditetapkan.

Beliau menambah tiada tempoh ditetapkan untuk menyiapkan siasatan.

“Tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikan siasatan dan mengemukakan hasil siasatan kepada TPR untuk tindakan pendakwaan bergantung kepada kompleksiti setiap kes tersebut,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat