Sarawak Diberi Autonomi Minyak, Mengapa Kelantan, Terengganu Diketepikan? – Ahmad Marzuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk memberikan hak yang sama kepada negeri-negeri di Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu, dalam industri minyak dan gas susulan pengiktirafan terhadap usaha Sarawak dalam sektor tersebut.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN), menegaskan bahawa meskipun beliau menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperakui aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak dalam sektor berkenaan, keadilan perlu diberikan kepada negeri-negeri lain yang turut menjadi pengeluar hasil bumi.

“Saya sangat menyokong penuh tanpa pertikaian, namun kenapa kerajaan memilih dalam soal seperti ini? Mengapa tidak Kelantan dan Terengganu diberikan hak yang sama meskipun tidak mahu atau segan membayar royalti?” katanya semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa Perjanjian Petroleum 1974 telah menyerahkan hak penerokaan minyak dan gas kepada Petronas, melibatkan Sarawak, Sabah, dan seluruh negeri di Semenanjung.

“Kalau Sarawak boleh diberikan, mewujudkan autonomi tertentu, diwujudkan Petros untuk mendapatkan manfaat lebih daripada hasil petroleum, mengapa Kelantan sampai hari ini dinafikan?” soal Ahmad Marzuk.

Pada sesi penerangan di Dewan Rakyat semalam, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui aspirasi negeri itu untuk menceburi industri minyak dan gas melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2025. DGO, apabila dibaca bersama Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), memperuntukkan bahawa syarikat Petros akan berperanan sebagai agregator di Sarawak.

Ahmad Marzuk turut mengingatkan Perdana Menteri agar bersikap adil dalam isu hasil bumi dan merujuk kepada jasa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang telah memberikan pengampunan penuh kepada Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Apakah tidak cukup besar jasa Sultan Kelantan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu yang memberikan pengampunan penuh kepada Ahli Parlimen Tambun sehingga beliau boleh berdiri sebagai seorang Perdana Menteri pada hari ini?” katanya.

Selain itu, beliau turut mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk mengkaji semula Perjanjian Petroleum 1975 dan mengembalikan pembayaran royalti secara langsung kepada kerajaan negeri tanpa perantaraan.

“Kerajaan Pusat perlu mewujudkan dasar pembahagian hasil lebih adil agar negeri pengeluar mendapat manfaat yang setimpal. Hapuskan amalan diskriminasi terhadap negeri-negeri pembangkang dalam pengagihan sumber hasil asli negara,” tambahnya.

Ahmad Marzuk juga mengingatkan Perdana Menteri mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

*“Namun, apakah makna kerjasama jika negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah terus dianaktirikan dalam pembahagian peruntukan?

Kelantan terus dinafikan royalti petroleum walaupun hasil itu dikaut daripada perut buminya, tetapi projek infrastruktur lebih banyak tertumpu di negeri-negeri tertentu, seolah-olah hanya satu bahagian negara ini layak menerima pembangunan,”* katanya lagi.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat