CUPERTINO – Apple dijangka melancarkan iPhone SE 4 pada Rabu, 19 Februari, menjadikannya pelancaran iPhone SE yang paling awal dalam sejarah berbanding model sebelumnya yang diperkenalkan pada Mac 2022 dan April 2020.
Langkah ini dilihat sebagai strategi Apple untuk mengisi jurang antara pelancaran iPhone 16 lima bulan lalu dan acara utama seterusnya pada musim luruh. Dengan persaingan sengit dalam pasaran telefon pintar mampu milik, iPhone SE 4 dijangka memperkukuhkan kedudukan Apple setelah hampir tiga tahun tanpa model baharu dalam siri SE.
Selain itu, terdapat juga spekulasi bahawa Apple mungkin mengumumkan produk lain seperti HomePod dan AirTag generasi baharu dalam acara yang sama. Kenyataan terbaru daripada Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, di platform X telah mencetuskan lebih banyak tanda tanya mengenai kejutan lain yang bakal diumumkan.
Bagi peminat Apple yang menantikan model mampu milik dengan spesifikasi terkini, pelancaran iPhone SE 4 ini pastinya menjadi tumpuan utama minggu ini.