RM44 juta dibelanja kerajaan untuk 236 lawatan rasmi ke luar negara tahun lepas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah menjalankan 236 lawatan rasmi ke luar negara pada tahun 2024 dengan menelan kos keseluruhan mencecah RM44 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, lawatan rasmi ahli Jemaah Menteri bertujuan untuk menghadiri mesyuarat berkala dan berjadual melibatkan Malaysia sebagai negara anggota dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan melakukan lawatan paling banyak dengan 39, disusuli Perdana Menteri Anwar Ibrahim (19), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz (18), dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Tiong King Sing (15).

“Perbelanjaan lawatan Ahli Jemaah Menteri ke luar negara sentiasa mematuhi tatacara kewangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Zaliha berkata, kerajaan mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dan berkesan.

“Setiap lawatan dirancang teliti untuk mencapai nilai tambah maksimum dengan mengguna pakai kadar perbelanjaan optimum, selaras dengan prinsip langkah penjimatan kerajaan,” katanya.

Menurut Dr Zaliha lagi, lawatan ini bukan sekadar rutin, tetapi memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global.

Dr Zaliha menjelaskan bahawa lawatan tersebut melibatkan kehadiran menteri-menteri dalam mesyuarat berkala dan jadual tetap yang melibatkan Malaysia sebagai ahli pelbagai pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Forum Ekonomi Dunia (WEF), dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Developing-8 (D-8).

“Kehadiran mereka sebagai wakil kerajaan adalah penting untuk menunjukkan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan hubungan diplomatik dan mempromosikan kepentingan negara di peringkat antarabangsa. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan merangsang ekonomi negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah).

Dalam jawapan berasingan, Dr Zaliha mendedahkan bahawa Perdana Menteri telah melawat 31 negara antara November 2022 dan Februari 2025, dengan perbelanjaan sebanyak RM16 juta.

Antara negara yang dilawati termasuk Arab Saudi, Australia, Bangladesh, Belgium, Brazil, Brunei Darussalam, India, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Korea Selatan, Mesir, Pakistan, Peru, Qatar, Rusia, Laos, China, Republik Kyrgyz, Thailand, Turkiye, Singapura, Switzerland, Uzbekistan, dan United Kingdom.

Beliau menambah bahawa perbelanjaan bagi pegawai kerajaan yang mengiringi Perdana Menteri ditanggung oleh kementerian masing-masing, manakala kos untuk anggota keselamatan di bawah tanggungjawab polis dan angkatan tentera.

Semua perbelanjaan lawatan rasmi atau kerja Perdana Menteri dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan tanpa sebarang pembiayaan daripada syarikat swasta.

“Untuk lawatan yang melibatkan penerbangan sewaan komersial, ini adalah langkah penjimatan kerajaan memandangkan bilangan delegasi yang besar dan siri lawatan ke beberapa negara berturut-turut. Perbelanjaan lawatan luar negara Perdana Menteri sentiasa mematuhi prosedur kewangan sedia ada dengan pendekatan berhemah,” jelasnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat