KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membelanjakan RM150 juta untuk menyerap kos pengeluaran dalam tempoh 6 bulan akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Justeru beliau menjangkakan, sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram (kg) akan mula tersedia di pasaran dalam masa terdekat.
“Kerajaan sebelum ini telah menetapkan harga lantai belian padi pada RM1,500 per tan metrik setelah mengambil kira pergerakan harga beras dunia serta kos yang ditanggung oleh pesawah.
“Bagi menyokong inisiatif ini, kerajaan akan membelanjakan RM150 juta untuk menyerap kos pengeluaran dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Insya-Allah, sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan 10kg akan mula tersedia di pasaran dalam masa terdekat,” katanya ketika membincangkan penyelarasan harga sektor padi dan beras dalam Wacana Bicara Naratif di TV1, semalam.
Pada masa yang sama Mat Sabu memberitahu, Kementerian akan mengguna pakai sistem Rice Tracking di sepanjang rantaian bekalan bagi mengelakkan aktiviti menyorok stok atau penjualan melebihi harga kawalan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terus terbela, sekali gus membolehkan mereka memperoleh keuntungan yang lebih selesa.
“Selain itu, kerajaan mahu semua pihak dalam rantaian industri padi dan beras mendapat manfaat daripada penyelarasan harga ini, termasuk pesawah, pengilang, dan pengguna,” ujar beliau.