Mengarut!- Wee Ka Siong Kritik KWSP Jual Murah Saham MAHB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, menolak penjelasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung keputusan menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada harga rendah sebelum membelinya semula pada harga premium dalam tempoh singkat.

“Maaf, saya terpaksa guna perkataan ini – mengarut,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Pada 15 Januari, KWSP mempertahankan keputusan itu, menyatakan bahawa tawaran umum sukarela pada harga RM11 sesaham adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang konsortium tersebut untuk mencapai pertumbuhan dan pulangan mampan.

KWSP turut menegaskan bahawa polisi “Chinese Wall” telah dilaksanakan untuk memastikan integriti dan tadbir urus yang baik, di mana pengurus dana tidak memiliki akses kepada maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum, termasuk berkaitan tawaran pengambilalihan.

“Polisi ini berfungsi sebagai penghalang maklumat antara jabatan yang berbeza dalam KWSP, memastikan maklumat penting tidak tersebar dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran,” kata KWSP seperti dilaporkan Bernama.

Namun, Wee mempersoalkan rasional penjelasan tersebut, menyatakan bahawa polisi “Chinese Wall” lazimnya digunakan dalam sektor perbankan dan tidak relevan dengan KWSP sebagai institusi pelaburan.

“Chinese Wall ni lazimnya digunakan oleh sektor perbankan di mana pemisahan maklumat melibatkan dua jabatan yang berasingan.”

“Tetapi KWSP bukan bank dan ia melibatkan jabatan yang sama iaitu pelaburan…” tegas beliau.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran mematuhi polisi tersebut jika akhirnya menyebabkan kerugian melebihi RM500 juta kepada pencarum.

“Apa guna mematuhi prinsip Chinese Wall dan akhirnya merugikan wang pencarum melebihi setengah bilion ringgit, untuk apa” katanya lagi.

Wee turut mengkritik KWSP yang mendakwa tidak mempunyai pilihan selain meneruskan proses pembayaran dividen kepada pencarum. Beliau mendesak jawapan mengenai pihak yang mengarahkan penjualan saham MAHB pada harga rendah dan pembelian semula pada harga tinggi.

“Siapa yang arahkan saham MAHB milik KWSP dijual murah? Dan siapa pula yang setuju beli balik saham itu dengan harga lebih 80% lebih tinggi? Yang untung siapa? Yang rugi sudah tentu rakyat jelata, pencarum KWSP,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, mengumumkan prosiding akan diadakan pada Februari bagi menyemak pengurusan lapangan terbang di Malaysia. Prosiding itu akan melibatkan lebih 10 saksi, termasuk pihak berkepentingan dari Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Khazanah, dan KWSP.

PAC dijangka meneliti isu ini dengan lebih mendalam bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan aset negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat