GUA MUSANG: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan supaya meletakkan jawatan berikutan dakwaan menyembunyikan titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, menegaskan bahawa tindakan itu adalah pelanggaran serius terhadap titah diraja dan perlembagaan, sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.
Menurutnya, tindakan melibatkan etika dalam politik yang boleh membawa kepada pertukaran kerajaan dan memberi kesan terhadap ekonomi negara.
“Jika mengikut amalan biasa, jika pihak terlibat menghormati perlembagaan, mereka akan meletak jawatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Papan, Gua Musang, hari ini.
Menurutnya, situasi ini boleh mencetuskan pelbagai kesan, termasuk potensi ketidakstabilan politik dan ekonomi jika tidak ditangani dengan berhemah.
“Jika pihak terlibat menghormati perlembagaan, mereka seharusnya meletak jawatan. Kita harap perkara ini tidak akan membawa kepada kacau bilau yang boleh memudaratkan negara,” tambah beliau.
Ku Li turut menyatakan bahawa sekiranya peletakan jawatan berlaku, Pilihan Raya Umum (PRU) mungkin diadakan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
“Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan sekiranya dipohon dan mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong atau pun ada pemerintahan gantian untuk mengisi kekosongan yang bakal dikosongkan oleh orang yang didesak berhenti dan melanggar perlembagaan,” jelas beliau.
Kenyataan Ku Li ini muncul di tengah-tengah ketegangan politik yang berpotensi menggugat kestabilan pentadbiran dan ekonomi negara.