TVET PUO bertaraf dunia, graduannya diiktiraf ACCA

Oleh Zihan Zari

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa melalui kolaborasi strategik bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

PUO dalam kenyataan berkata satu Majlis Apresiasi Pelajar telah diadakan di PUO Kampus Bercham, dekat sini baru-baru ini, bagi meraikan kejayaan pelajar yang berjaya memperoleh Certificate in Data Analytics (CertDA) dan Certificate in Sustainability for Finance (CertSF) iaitu dua pensijilan profesional penting yang kini menjadi keperluan utama industri global.

“Kerjasama PUO–ACCA ini membuktikan bahawa pendidikan TVET di Malaysia mampu memenuhi piawaian antarabangsa, khususnya dalam bidang perakaunan, analitik data dan kelestarian.

“Pengiktirafan melalui CertDA dan CertSF menandakan bahawa pelajar PUO dipersiapkan dengan kemahiran digital, kemampuan mentafsir data serta pemahaman mendalam tentang amalan ESG (Environmental, Social and Governance) yang semakin menonjol dalam landskap korporat global, ”kata kenyataan itu.

“Dunia perakaunan moden kini tidak lagi tertumpu kepada aspek debit dan kredit semata-mata. Profesion ini menuntut tenaga kerja yang strategik, celik data dan peka terhadap isu kelestarian.

“Program yang diraikan di PUO Kampus Bercham melibatkan tiga disiplin utama iaitu Diploma in Accounting & Business (DIAB), Certificate in Data Analytics (CertDA), dan Certificate in Sustainability for Finance (CertSF).

“Kombinasi ketiga-tiga bidang ini menjadi ramuan penting dalam melahirkan graduan yang future-proof, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dalam dunia profesional yang semakin kompleks serta dipacu digital, ”katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh, telah merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat.

“Kepada para pelajar yang dikasihi, sijil yang anda genggam bukan sekadar pengiktirafan akademik, ia adalah ‘passport’ untuk anda melangkah ke dunia profesional dengan penuh keyakinan.

“Anda bukan sekadar graduan biasa, anda adalah aset bernilai kepada industri moden, ”katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan mengaplikasikan ilmu analitik data dalam membuat keputusan yang tepat serta menerapkan prinsip kelestarian dalam setiap amalan kewangan.

“Saya yakin produk keluaran PUO yang bekerjasama dengan ACCA ini mampu menjadi pemimpin industri masa hadapan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, seramai 55 pelajar dari Jabatan Perdagangan PUO telah menyertai Program Pentauliahan Industri KPT-Industry Professional Certification (KPTiP) –ACCA.

Daripada jumlah tersebut, 39 pelajar (Batch 1) telah berjaya menamatkan CertDA dan kini mengikuti CertSF, manakala 16 pelajar (Batch 2) sedang mengikuti kedua-dua pensijilan secara serentak.

Dalam masa yang sama, 30 pelajar turut terpilih mengikuti Program Dual Diploma tajaan ACCA. Seramai 13 pelajar telah menduduki peperiksaan Foundations in Financial Accounting (FFA), dan 5 pelajar berjaya lulus dengan cemerlang.

Kesemua mereka menerima token penghargaan daripada ACCA yang disampaikan oleh Education Relationship Lead, ACCA Maritime SouthEast Asia, Ang Wen How.

“PUO komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan industri bagi memastikan graduan yang dihasilkan memiliki kompetensi global, berdaya saing dan mampu memenuhi permintaan tenaga kerja masa hadapan, ”ujarnya.

“Untuk rekod, Program DiAB dilaksanakan dengan kerjasama Tymba Education selaku penyedia latihan, yang menampilkan barisan tenaga pengajar berpengalaman. Program ini dijalankan secara dalam talian selama 16 minggu, memberi fleksibiliti pembelajaran kepada pelajar.

“Program KPTiP Certification bersama ACCA yang merangkumi CertDA dan CertSF, latihannya disediakan oleh Omniaplus Education PLT yang dilaksanakan secara dalam talian selama 4 bulan, dikendalikan oleh tenaga pengajar berkelayakan dalam bidang masing-masing, ”ujarnya lagi.

“Seramai 1,368 graduan Jabatan Perdagangan (JP) telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2025, membuktikan komitmen berterusan PUO dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang perakaunan, perniagaan dan kewangan selaras keperluan industri semasa, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat